Expired : 18.06.18

Drop Shot: Terbuka Malaysia 'ujian' sulung Chong Wei

Akhirnya, teka-teki mengenai bilakah Datuk Lee Chong Wei bakal kembali ke gelanggang, terjawab selepas dia sah beraksi di Terbuka Malaysia, April depan.


Saya yakin ramai ternanti-nanti detik ini kerana hampir setahun arena badminton negara agak suram tanpa penampilan Chong Wei yang berehat kerana menjalani rawatan kanser hidung.


Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann yang mengesahkan perkara itu dalam laporan sebelum ini berkata, nama Chong Wei sememangnya sudah disenaraikan untuk beraksi di Terbuka Malaysia.


Kejohanan itu cukup sinonim untuk Chong Wei kerana dia tampil selaku juara bertahan dan muncul pemain paling kerap memenanginya iaitu sebanyak 12 kali.


Persoalan paling utama sekarang ialah mampukah Chong Wei kembali kepada prestasi lamanya?


Ini kerana penampilan semulanya sejak kali terakhir di Terbuka Indonesia, Julai tahun lalu tidak sama dengan ketika dia beraksi selepas memenuhi hukuman penggantungan selama lapan bulan akibat kegagalan ujian doping.


Ketika itu, meskipun tidak beraksi hampir setahun, Chong Wei kekal menjaga tahap kecergasannya dan paling penting ialah dia sihat tanpa sebarang penyakit yang mampu menjejaskan moral dan fizikal dirinya.


Kali ini, ujian yang dialami Chong Wei cukup berat. Kalau orang biasa saya fikir sudah tidak mampu untuk berfikir. Tapi tidak untuk Chong Wei.


Dia kekal positif melawan penyakitnya dan bercita-cita besar untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo!


Sebagai peminat, nasihat saya ialah usah terlalu taasub atau meletakkan penanda aras terlalu tinggi untuk Chong Wei.


Jika tidak, saya bimbang anda akan kecewa dan mula meragui kemampuan Chong Wei. Bagi saya usaha Chong Wei untuk beraksi semula sudah cukup baik.


Tetapi sekiranya dia mampu beraksi cemerlang dan memenangi Terbuka Malaysia, ia adalah sesuatu yang amat menakjubkan.


Apapun kita harus bersikap realistik. Chong Wei bukan robot tetapi manusia biasa yang memerlukan masa untuk kembali kepada prestasi sebenarnya. Dengan penyakit yang ditanggung selain usia yang sudah menjangkau 37 tahun, pastinya gerakannya tidak sepantas 10 tahun lalu.


Jasanya selama ini cukup besar untuk negara. Jadi hargailah penampilan semulanya itu dengan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.


Jumpa lagi.


Norlida Ishak Shop