Expired : 18.06.18

Dua ditahan sedang pikat burung spesies dilindungi


BANDAR PERMAISURI, 8 Ramadan 1440H, Isnin – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini, menahan dua lelaki yang sedang leka menangkap burung spesies yang dilindungi di Kampung Rhu Sepuluh, di sini.


Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof dalam kenyataan berkata, kedua-dua lelaki yang berumur 28 dan 51 tahun itu didapati sedang memanggil burung menggunakan alat elektronik ketika serbuan dibuat pada kira-kira jam 2 pagi.


“Kedua-dua mereka menggunakan alat elektronik yang menghasilkan bunyi burung, dan apabila burung menghampiri bunyi itu, haiwan itu akan tersangkut pada jaring yang dipasang,” katanya.


Beliau berkata, pihak jabatan juga telah merampas beberapa ekor burung disyaki spesies ayam-ayam (Gallicrex cinerea) dan beberapa peralatan yang digunakan untuk aktiviti itu, selain menyita beberapa kenderaan.


Setelah kenyataan direkodkan kedua-dua lelaki itu dilepaskan dengan jaminan polis, katanya.


Dalam pada itu, Abdul Malek berkata, penguatkuasaan secara berterusan akan dilakukan di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti sebagai tempat tumpuan aktiviti pemburuan di seluruh negeri yang biasanya dijalankan sekitar bulan Mac hingga Jun.


Beliau berkata, memburu hidupan liar seperti burung Ayam-Ayam, Sintar Api dan Ruak-Ruak adalah kesalahan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun bagi burung spesies jantan, manakala denda RM200,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun untuk spesies betina atau tidak matang.


Orang ramai diminta membantu pihak Jabatan Perhilitan bagi bersama-sama membanteras gejala itu dan berusaha melindungi khazanah negara supaya tidak diancam kepupusan, katanya. – Bernama


The post Dua ditahan sedang pikat burung spesies dilindungi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop