Expired : 18.06.18

Dua lelaki periksa MPV polis ditahan, 3 suspek lagi diburu


SEREMBAN, 8 Syaaban 1440H, Ahad – Polis menahan dua daripada lima individu yang disyaki memeriksa kereta peronda polis (MPV) di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau, petang semalam.


Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kedua-dua mereka ditahan kira-kira jam 12 tengah hari tadi di lokasi berasingan.


Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan berhubung tindakan menghalang tugas penjawat awam pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, petang semalam.


“Individu pertama yang bekerja sebagai jurujual kenderaan berusia 52 tahun ditahan di sebuah rumah di Seremban, manakala seorang lagi yang bekerja sebagai pemandu lori berusia 36 tahun, ditahan di Rantau.


Polis juga kini sedang giat memburu tiga lagi suspek yang masih bebas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.


Semalam, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang di hadapan SJKC Chung Hua, lima lelaki bertindak memeriksa kereta MPV kerana mendakwa anggota polis membawa lebihan kertas undi dan sebaik bonet MPV dibuka hanya peti ubat dan kon keselamatan ditemukan.


Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini berkata, PKR memandang serius beberapa dakwaan salah laku atau pelanggaran undang-undang ketika PRK DUN Rantau, termasuk dakwaan penggeledahan kereta polis dan pergaduhan di luar Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH).


Katanya, perkara-perkara berkenaan akan dibawa ke perhatian Lembaga Disiplin parti untuk siasatan segera.


“Sekiranya didapati sebarang tindakan telah dilakukan oleh mana-mana anggota PKR yang melanggar tata etika dan disiplin parti, maka tindakan tegas akan diambil terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – Bernama


The post Dua lelaki periksa MPV polis ditahan, 3 suspek lagi diburu appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop