Expired : 18.06.18

Dua mahasiswa UTM terpilih Duta MyDNA Jelajah Siswa Patriotik 2019

Dua mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah terpilih sebagai duta MyDNA Jelajah Siswa Patriotik 2019 mewakili universiti untuk menjadi ikon belia untuk mempromosikan semangat patriotisme.


Mahasiswa tersebut ialah penuntut tahun tiga jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Manibharathee a/l Muniandy, dan pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Senibina, Muhammad Khusairi Md. Gapar.


Program Jelajah Siswa Patriotik 2019 yang merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) ini  telah berlangsung di Kuala Lumpur, Ipoh dan berakhir di Pulau Pinang dan bertujuan untuk merencana, membina serta memperkukuh semula tahap patriotisme dan semangat cintakan negara di kalangan mahasiswa.


Manibharathee dan Khusairi merupakan antara 31 orang duta dari seluruh Universiti Awam (UA) seluruh negara yang terpilih sebagai duta MyDNA sehingga September 2020.


Ditemui di kampus UTM Johor Bahru setelah selesai menjalani program tersebut, kedua-dua mahasiswa tersebut ternyata gembira dan bangga kerana telah terpilih untuk menyertai program berbentuk kenegaraan ini.


Muhammad Khusairi berkata beliau tertarik dengan Program Jelajah Siswa Patriotik dan Duta MyDNA ini kerana program dan tanggungjawab ini memberinya peluang untuk merasai sendiri kegigihan untuk berkongsi rasa cinta kepada negara Malaysia dan juga kepada masyarakat awam secara terus.


“Ini bukanlah program yang selalu dianjurkan dan saya sedar program ini hadir dengan tanggungjawab yang besar sebagai lambang kepada patriotisme golongan muda, khususnya sebagai mahasiswa di Universiti Teknologi Malaysia.


Bukan mudah untuk menjadi seorang duta semasa Jelajah Siswa Patriotik. Walaupun begitu, disebabkan saya tidak berseorangan kerana ditemani oleh rakan-rakan duta dari pelbagai universiti, kami cuba sedaya upaya menjalankan tanggungjawab kami untuk memberikan kesedaran patriotisme kepada masyarakat,” katanya yang juga merupakan Presiden Bahagian Bahasa Melayu, Kelab Debat, Pidato dan Pemikiran Kritis (DEPIKIR) UTM.


Sementara itu Manibharathee berkata beliau memohon untuk menyertai program ini disebabkan minatnya yang sangat gemar menyertai program-program bercorak kebangsaan sejak dahulu lagi.


“Saya merupakan seorang pelajar yang mempunyai semangat cinta akan negara dari kecil. Semangat saya yang itulah telah mendorong saya memasuki pelbagai kem-kem bermotifkan kebangsaan dari dulu.


Pengalaman menjadi duta ini amatlah mengujakan kerana di samping dapat berkenalan dengan rakan-rakan mahasiwa dari pelbagai universiti lain, kami juga berpeluang untuk mengetahui mengenai corak pemikiran masyarakat Malaysia mengenai negara kita,” katanya.


Bercerita mengenai program ini, Muhammad Khusairi berkata perjalanan mereka bermula dari KL Sentral untuk menaiki kereta api KTMB ke utara.


“Sepanjang menunggu masa pelepasan, kami menyanyikan pelbagai lagu patriotik sepanjang berada di KL Sentral. Di Ipoh pula, kami memberikan pengucapan awam berkaitan kenegaraan dan eksperimen sosial di Gerbang Malam bersama dengan rakan-rakan dari Politeknik Ungku Omar.


Penggerai-penggerai memberikan sokongan dan juga pengunjung-pengunjung juga turut bersama kami tanpa mengira usia dan bangsa. Saya sangat terharu apabila ada anak-anak kecil yang setia bersama kami di situ mendengar perkongsian kami dan gembira mengibarkan bendera,” katanya lagi.


Destinasi seterusnya adalah ke Butterworth, Pulau Pinang untuk menyambung misi di sana bersama rakan-rakan Politeknik Seberang Perai.


“Di Pulau Pinang, kami memeriahkan suasana persekitaran di pasaraya CMart and Mydin Butterworth dengan nyanyian, pengucapan awam dan eksperimen sosial.


Kami juga menjalankan aktiviti kemasyarakatan di Kawasan Permatang Pasir, Seberang Perai untuk membantu jawatankuasa setempat menceriakan suasana kawasan perumahan tersebut dengan bendara Jalur Gemilang dan membersihkan balai raya dan surau di sana,” katanya.


Bercerita mengenai perasaannya apabila terpilih sebagai duta MyDNA, Muhammad Khusairi berkata beliau merasakan amat teruja dan beruntung kerana dapat menyertai aktiviti sebegini.


“Pengalaman sepanjang menyertai Kembara Siswa Patriotik sebagai Duta MyDNA adalah cara yang berbeza untuk menunjukkan perasaan cinta pada negara dan saya dapat meluahkan perasaan cinta ini bukan sahaja untuk saya, tetapi untuk semua orang termasuklah rakan-rakan Duta MyDNA dan masyarakat awam.


Duta MyDNA jugalah yang akan mempromosikan semangat patriotisme kepada mahasiswa-mahasiswa dan saya berbangga untuk menjadi Duta MyDNA bagi Universiti Teknologi Malaysia,”katanya lagi.


Sementara itu Manibharathee pula berkata peranan sebagai Duta MyDNA tidak hanya berhenti pada program Kembara Siswa Patriotik sahaja malah perlu untuk terus menjalankan program-program dan aktiviti-aktiviti di kampus masing-masing yang berteraskan nasionalisme, patriotisme dan jati diri.


“Memang tidak dapat dinafikan untuk memupuk kesedaran kenegaraan dalam kalangan golongan muda memerlukan pendekatan yang berbeza kerana perubahan era yang lebih moden.


“Justeru itu, untuk memberikan impak secara berterusan kepada mahasiswa, kaedah yang lebih berkesan perlu dirancang oleh duta MyDNA agar program yang dijalankan bersifat lebih mesra belia dan saya yakin melalui medium yang baik sebarang aktiviti yang dijalankan akan menerima sambutan yang menggalakkan,” katanya.


Universiti mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian dan penglibatan kedua-dua pelajar ini.


Duta MyDNA tiba di Stesen Keretapi Ipoh, Perak.



Kanak-kanak juga bersama dengan Duta MyDNA untuk memeriahkan suasana Gerbang Malam di Ipoh, Perak.



Muhammad Khusairi memberikan pengucapan awam berkaitan Kepentingan Badan Keselamatan Negara di pasaraya MyDin Butterworth, Pulau Pinang.



Aktiviti kemasyarakatan MyDNA di Permatang Pasir, Pulau Pinang.



Norlida Ishak Shop