Expired : 18.06.18

Ecah yang istimewa [METROTV]

WALAUPUN dilahirkan sebagai anak istimewa tetapi Nik Amalin Aisyah, 15, tetap berkebolehan melakukan kerja rumah sendiri tanpa disuruh.


Nik Amalin Aisyah atau lebih mesra dengan panggilan Ecah tiada masalah untuk menguruskan diri ketika ditinggalkan sendirian walaupun mengalami kelewatan pembangunan global (GDD).


Ibunya, Zainab Ismail berkata, dia dan suami, Zurizalazuan Mohamad, 50, tidak pernah mengajar Ecah melakukan kerja rumah secara terperinci.


Sebaliknya, katanya, Ecah boleh melakukannya sendiri kerana sikapnya yang suka memerhati kelakuan dan tingkah laku individu sekeliling.


Bercerita lanjut, Zainab berkata, Ecah dikesan mengalami GDD ketika berusia enam bulan hasil pemeriksaan dilakukan selepas melihat perkembangannya agak perlahan berbanding tiga anak lain.


“Demi memastikan Ecah tidak ketinggalan, kami menghantarnya ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) ketika dia berusia empat tahun.


“Kini Ecah mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan banyak kemahiran baru dipelajarinya,” katanya ditemui di rumahnya di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.


Ecah seorang yang pendiam tetapi boleh diharap dan rajin membantu keluarganya di rumahnya di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur. Foto Intan Nur Elliana Zakaria



Menurut Zainab, Ecah seorang yang pendiam tetapi boleh diharap dan rajin menolongnya melakukan kerja rumah.


Kadang-kadang, Zainab juga terkejut dengan kebolehan Ecah di luar jangkaannya.


“Di rumah, Ecah lebih suka buat hal sendiri tetapi dalam diam, dia memerhati apa yang saya, suami dan adik beradiknya lakukan.


“Hinggakan, saya dan suami terkejut apabila melihat nasi siap dimasaknya sedangkan tidak pernah sekalipun mengajarnya cara menggunakan periuk nasi.


“Begitu juga dengan kerja rumah lain seperti menggosok baju, menyapu lantai dan mengangkat pakaian di ampaian pada waktu petang yang dilakukan sendiri tanpa disuruh.


“Kebolehannya berdikari menjadikan saya dan suami tidak risau meninggalkannya sendirian di rumah tetapi sentiasa berpesan supaya dia tidak melakukan sesuatu yang boleh membahayakan keselamatan contohnya dengan menghidupkan gas sendiri,” katanya.


Sementara itu, Zurizalazuan mengakui terkejut selepas mengetahui kisah anak keempatnya itu tular di laman sosial baru-baru ini.


Zurizalazuan berkata, dia dan Zainab tidak tahu menahu mengenai perkara itu sehingga diberitahu anak sulung, Nik Nurin Alisa, 21, yang berkongsi kebolehan Ecah di Twitter.


“Saya tahu mengenai berita yang tular itu selepas mendapat kiriman Whatsapp daripada Alisa (anak sulung) dan tak sangka, kisah Ecah mendapat perhatian meluas di media sosial.


“Terima kasih atas sokongan semua dan selagi hidup, saya akan terus membesarkan Ecah serta berharap dia boleh terus berdikari.


“Bagi saya, Ecah sangat istimewa. Walaupun tidak dapat menzahirkan perasaannya, dia ada sikap penyayang dan prihatin terutama jika tahu insan sekelilingnya sakit,” katanya.


Norlida Ishak Shop