Expired : 18.06.18

ECRL perlu dirancang rapi, pertingkat tenaga buruh


SEREMBAN, 2 Syawal 1440H, Khamis – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ECRL memerlukan perancangan rapi bagi merealisasikannya, termasuk dari segi kemahiran tenaga buruh tempatan yang harus segera dipersiap dan dipertingkatkan.


Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Jabatan Kejuruteraan Infrastruktur dan Geomatik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata, projek mega yang menghubungkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung itu mampu mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan selain mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat yang lebih mampan.


“Perancangan dan pembangunan yang teliti perlu bagi memastikan dana dan sumber negara dimanfaatkan sepenuhnya khususnya sumber manusia yang memerlukan suntikan peluang pekerjaan di kalangan graduan universiti atau politeknik di negara ini,” katanya kepada Bernama, di sini.


Justeru, beliau yang juga Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) berkata, peranan institusi pendidikan tinggi dan latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah penting dalam memberikan sokongan terus terhadap projek mega ECRL berkenaan.


“Peranan empat universiti MTUN (Malaysian Technical University Network) iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) amat penting untuk memastikan sumber manusia yang diperlukan dalam pembangunan projek ECRL disediakan untuk pembinaan infrastruktur,” katanya.


Mohd Idrus berkata, kejayaan pembangunan kawasan dan operasi sistem ECRL bukan sekadar melibatkan jumlah perbelanjaan untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang bernilai berbilion Ringgit sahaja.


Yang paling penting adalah perancangan bersama antara pihak yang menjadi operator sistem dan pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran dan semua pihak yang terlibat dalam pembinaan dan pembangunan ECRL perlu melihat bahawa projek berkenaan adalah projek rakyat.


“Konsep pendekatan “Transit-Oriented Development” atau TOD telah lama digunakan di Jepun, Korea dan China. Namun, di Malaysia, ia masih baharu kerana pihak perancang pengangkutan sistem seperti ECRL berkemungkinan menghadapi masalah dalam menyakinkan pihak berkuasa tempatan supaya menyumbang dana mereka bagi membangunkan kawasan sekitar lokasi stesen ECRL yang dipilih.


“ECRL memerlukan bilangan penumpang yang sesuai untuk menjadi satu sistem pengangkutan yang lestari serta bertahan lama. Tanpa bilangan penumpang yang mencukupi, operasi sistem pengangkutan rel seperti ECRL akan mengalami kesukaran dan akhirnya akan beropearsi pada angka defisit.


“Kita juga maklum bahawa tidak banyak sistem pengangkutan rel di dunia yang mendapat keuntungan dalam operasinya tetapi, pada masa yang sama kita tidak boleh membiarkan syarikat operasi pengangkutan rel ini kerugian disebabkan bilangan penumpang yang tidak mencukupi,” katanya.


Beliau berkata, bagi memastikan bilangan penumpang yang mencukupi bagi ECRL, pembangunan bandar-bandar di sekitar stesen ECRL perlu dilakukan di peringkat awal dengan pembangunan strategik seperti mewujudkan kawasan perumahan, perindustrian, kawasan komersil, kawasan pelancongan dan tarikan tempatan yang boleh dijadikan ikon kepada dua puluh bandar-bandar yang telah dipilih sebagai stesen ECRL.


“Jarak 640 kilometer dengan 20 stesen yang kini telah diubah jajaran laluannya dari Gombak (Selangor) ke Jelebu (Negeri Sembilan) menunjukkan bahawa kerajaan melihat Negeri Sembilan berpotensi untuk menjana penumpang kepada ECRL.


“Namun, ia juga boleh dilihat sebagai salah satu pendekatan untuk mempromosi Jelebu khususnya dan Negeri Sembilan, amnya, yang mempunyai pelbagai budaya dan adat yang boleh menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.


Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 12 April lepas mengumumkan projek ECRL akan diteruskan pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).


Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.


Pembinaan ECRL akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang. -Bernama


The post ECRL perlu dirancang rapi, pertingkat tenaga buruh appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop