Expired : 18.06.18

Edar Bible: Pemuda Isma kecam respon ‘lembik’ MAINPP


Oleh Athirah Huda Zalhe


BANGI, 2 Rabiulawal 1440H, Sabtu – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengecam respon ‘lembik’ Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), yang tidak bercadang membuat laporan polis berhubung kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar sekolah di Bukit Mertajam, baru-baru ini.


Ketua Pemuda Isma, Muhammad Farid Hussein berkata, alasan MAINPP kononnya kegiatan itu bukan satu jenayah disifatkan sebagai satu perkara yang pelik dan mengelirukan.


Beliau berkata, perbuatan mengedar kitab Bible kepada umat Islam secara jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan yang melarang agama lain disebarkan kepada masyarakat Islam.


“Jadi, satu perkara yang aneh lagi ajaib, apabila YDP MAINPP yang juga merupakan pemimpin PKR mengeluarkan komen sedemikian.


“Menteri semua agama pula (merujuk Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa) seperti biasa, begitu lunak dengan hanya memberikan nasihat kepada pihak berkenaan supaya menghormati Perlembagaan dan ‘taichi’ isu ini kepada MAINPP,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.



Tegas Farid, jika timbul isu yang menyentuh hak orang bukan Islam, menteri agama berkenaan yang paling awal dan lantang memperjuangkan, walaupun tiada kaitan dengan portfolio beliau seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).


“Nampaknya, benarlah tuduhan bahawa menteri semua agama itu sebenarnya memperjuangkan ‘rahmatan lil kafirin’. Harapkan pagar, pagar makan padi.


“Mengharapkan Pakatan Harapan (PH) menjaga Islam, punah harapan jadinya. Kalau dulu ucapan ‘Islam ya’lu wala yu’la alaih’ menjadi zikir, bila dah berkuasa hak sama rata semua agama pula yang diperjuangkan,” katanya.


Serentak itu, beliau berkata, Pemuda Isma menggesa semua umat Islam tanpa mengira fahaman politik supaya bersama-sama sensitif dengan sebarang isu membabitkan kepentingan agama Islam.


“Janganlah kerana hendak menjaga undi, kepentingan agama Islam ditolak ke tepi,” katanya.


Sebelum ini, tular di media sosial beberapa gambar yang memaparkan kegiatan pihak tertentu mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.


Rabu lalu, Yang Dipertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Kassim berkata, pihaknya tidak bercadang membuat laporan polis kerana menganggap perbuatan berkenaan bukan kesalahan jenayah, selain MAINPP sendiri tidak pasti sama ada kejadian berkenaan baharu berlaku atau kes lama yang menjadi tular semula, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof mengesahkannya.


The post Edar Bible: Pemuda Isma kecam respon ‘lembik’ MAINPP appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop