Expired : 18.06.18

Embargo: KKMM hanya bertindak jika babit kakitangan kerajaan


KUALA LUMPUR, 5 Syaaban 1440H, Khamis – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap perbuatan membocorkan embargo Kertas Putih Felda, kerana individu yang melakukannya adalah bukan kakitangan kerajaan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, perkara itu akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab, bersesuaian dengan niat atau perbuatan seseorang individu berkenaan.

“Kalau ia berkaitan dengan kakitangan kerajaan, itu perkara yang kita sentiasa titik beratkan dan menjadi keutamaan (jangan bocor embargo).

“Tetapi, sekiranya ia dilakukan pihak bukan kakitangan kerajaan dan secara terang memanipulasi keadaan, ia tidak berada dalam kawalan kami,” katanya.

Beliau percaya bahawa pihak bertanggungjawab akan mengambil tindakan bersesuaian, katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pada sesi soal jawab berkenaan status isu embargo Kertas Putih Felda.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula telah mengemukakan satu usul supaya bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dikenakan tindakan keras kerana melanggar embargo Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Terdahulu, bagi menjawab soalan asal Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) mengenai langkah kementerian menangani ketirisan data peribadi membabitkan sektor perkhidmatan, Eddin berkata, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) telah dikuatkuasakan pada 15 November 2013 untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial.

“Setiap pengguna data (syarikat yang memproses data peribadi untuk transaksi komersial berkenaan) wajib mematuhi Prinsip Perlindungan Data Peribadi dalam mengendalikan data peribadi subjek data (pemilik data peribadi) bagi memastikan data peribadi itu tidak disalahgunakan,” katanya. – Bernama


The post Embargo: KKMM hanya bertindak jika babit kakitangan kerajaan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop