Expired : 18.06.18

Empat lawan hebat tunggu Malaysian Tigers

JERMAN, New Zealand, Sepanyol dan Kanada. Itu salah satu daripada empat pasukan yang diramal pengendali skuad hoki negara, Roelant Oltmans bakal ditemui anak buahnya pada aksi play off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, November depan.


Melihat kepada keempat-empat negara itu, sudah jelas skuad negara bakal berdepan tugas cukup mencabar untuk layak beraksi di Tokyo 2020 sekali gus menamatkan kemarau selama hampir 20 tahun gagal layak ke temasya terbesar dunia itu.


"Empat negara itu adalah berdasarkan kepada kedudukan ranking dikemaskini minggu lalu. "Bagaimanapun masih ada kejohanan benua yang sedang dan belum berlangsung selain Sukan Asia. Mata ranking akan ditambah selepas berakhir semua kejohanan benua.


"Jadi ia masih belum berakhir. Pendek kata pasukan negara akan bertemu pasukan di ranking ketujuh, lapan, sembilan dan 10 dan ketika ini keempat-empat pasukan yang saya sebutkan tadi berada di kedudukan itu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.


Tiga daripada empat pasukan berkenaan iaitu Jerman, Sepanyol dan New Zealand akan ditemui oleh skuad negara pada siri Jelajah Eropah serta siri ujian Sukan Olimpik di Tokyo. Sementara itu, Oltmans berkata beliau akan mengumumkan senarai 20 pemain pada Khamis ini.


"Saya akan umumkannya sebelum atau ketika berlangsungnya mesyuarat pasukan. Kemudian saya akan maklumkan kepada media. Setakat ini saya sudah mempunyai gambaran senarai 20 pemain itu," katanya.


Norlida Ishak Shop