Expired : 18.06.18

Enggan ulas kes saman keluarga Nora Anne

PIHAK pengurusan resort tempat penginapan Nora Anne Quoirin bersama keluarganya ketika kejadian kehilangan dan kematian remaja berkenaan pada Ogos tahun lalu, enggan mengulas mengenai tindakan saman akan dibuat ibu bapanya.


Jurucakap resort berkata, pihak pengurusan resort itu tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara terbabit buat masa ini.


“Kami menghargai usaha anda menghubungi kami untuk mendapatkan komen.


“Tetapi pihak pengurusan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan pada masa ini. Terima kasih,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.


Media semalam melaporkan ibu bapa kepada Nora Anne, Sebastian Marie Philip dan Maebh Quoirin mengemukakan saman terhadap operator The Dusun Resort yang menjadi lokasi penginapan mereka ketika bercuti di Pantai, Seremban, Ogos tahun lalu.


Menerusi tuntutan itu, mereka mendakwa operator gagal memastikan keselamatan premis, tidak memasang kamera keselamatan dan tidak menyelenggara serta memastikan keupayaan selak pintu bilik diinap mereka.


Mereka diwakili peguam Sankara Nair dan saman sivil itu difailkan di Mahkamah Seksyen Seremban dengan pengurusan pertama kes dilaporkan akan bermula pada 21 Januari ini.


Media sebelum ini melaporkan, Nora Anne yang mengalami masalah lembam ditemui mati selepas 10 hari dilaporkan hilang.


Mayatnya ditemui sekumpulan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan lurah kira-kira 2.5 kilometer dari tempat penginapannya sekeluarga.


Norlida Ishak Shop