Expired : 18.06.18

Equanimity hanya ‘bukti palsu’?


Oleh Fahmi bin Faiz


BANGI, 30 Jamadilawal 1440H, Selasa – Naratif rampasan kapal layar mewah Equanimity yang dipercayai ada kaitan dengan Jho Low dan 1MDB, harus diteliti oleh rakyat Malaysia, kerana ada unsur mencurigakan, seolah-olah kapal itu adalah ‘bukti palsu’ yang dicipta untuk memburukkan kerajaan terdahulu.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, cara kapal itu disimpan selepas dirampas adalah pelik dan tidak mustahil ia sebenarnya dimiliki pihak tertentu yang ada kaitan dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH).


“Kita kena peka dengan plot-plot penting supaya kita boleh faham, konspirasi nak jatuhkan kerajaan terdahulu ni sangat kompleks. Saya ambil contoh, kes kapal Equanimity, saya sebut sebab semalam saya turun ke lapangan tengok kapal tu di Markas Wilayah 3, Tentera Laut di Langkawi.


“Kes kapal itu dirampas, cara ia disimpan, kita sepatutnya curiga. Sebenarnya kapal ini dirampas ke, atau pemiliknya memang Ahli Parlimen Langkawi atau kroni beliau?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.


Lokman berkata, pihaknya menerima maklumat, Perdana Menteri telah meminta pihak tertentu membayar supaya kapal itu dibawa ke Malaysia, dan ia harus dijual secepat mungkin atas alasan kos selenggara yang tinggi.


“Adalah tidak masuk akal, kos selenggara kapal tinggi sebagaimana dikatakan Di Mahathir. Kenapa saya cakap pelik? Kapal ni adalah barang rampasan.


“Mana ada dalam sejarah, pihak berkuasa yang merampas kenderaan atau kapal, beria-ia sampai nak selenggara barang rampasan?,” katanya.


Mengulas lanjut, Lokman berkata, kenyataan Perdana Menteri, bahawa kapal layar itu perlu dibawa bersiar juga adalah sesuatu yang patut dicurigai.


“Tak cukup dengan itu, kapal ini pula tiba-tiba dibawa ke Langkawi, tempat di mana Dr Mahathir jadi Ahli Parlimen? Dan bila ditanya, kenapa kapal ni perlu dibawa ke Langkawi, dia (Dr Mahathir) jawab, kapal ini perlu dibawa bersiar-siar tiga hari sekali, agar teritip tidak melekat di badan kapal.


“Apa semua ni? Barang rampasan dijaga macam persiaran peribadi Perdana Menteri?,” katanya.



14 November tahun lalu, kapal layar itu berlabuh di Markas Wilayah Laut 3 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Tanjung Lembung, Langkawi selepas berlayar dari Pelabuhan Klang.


Sebelum itu, pada 7 Ogos, kapal yang didaftarkan di Kepulauan Cayman itu tiba di Pelabuhan Klang, selepas pihak berkuasa Indonesia bersetuju menyerahkannya kepada Kerajaan Malaysia ekoran waran sita yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Admiralti.


Kapal itu pertama kali disita di perairan Bali oleh pihak berkuasa Indonesia pada Februari tahun lalu, atas permintaan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan siasatan rasuah membabitkan 1MDB berjumlah berbilion-bilion dolar.


The post Equanimity hanya ‘bukti palsu’? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop