Expired : 18.06.18

Exco Perak Dibidas… Sila Baca Hansard DUN, Jangan Suka Buat Tuduhan Melulu

TAIPING, 5 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud menggesa Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim agar jangan cuba mengalih-pandang isu kebobrokan serta pergaduhan dalaman sesama parti dalam Pakatan Harapan (PH) dengan membuat tuduhan cetek terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad.


Tegas Setiausaha Penerangan UMNO Perak itu, ketika isu rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan tidak dapat diselesaikan serta kehidupan masyarakat terhimpit oleh peningkatan kos hidup semakin meningkat, pemimpin kerajaan PH Perak masih lagi dalam carca marba serta bercakaran sesama sendiri.


“Bacalah YB Hasnul, isu pergeseran antara exco dan YAB Menteri Besar bukan dimulakan oleh Datuk Saarani atau ADUN pembangkang tetapi oleh seorang Ahli Exco sendiri.


“Kami telah membuktikan dan mendedahkan exco berkenaan. Namun kelemahan Menteri Besar yang partinya hanya ada tiga kerusi (termasuk adik iparnya yang masih belum berparti) tidak dapat menundukkan exco berkenaan yang partinya ada 18 kerusi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Ahmad Saidi berkata demikian merujuk kepada kenyataan akhbar Hasnul yang juga Exco Penerangan Kerajaan Negeri Perak pada 4 Oktober 2019 bertajuk ‘Dakwaan Saarani tidak berasas, modal setiap kali menjelang sidang DUN.


Tambah Ahmad Saidi, dalam kenyataan itu jelas Hasnul menuduh Saarani ‘gagal’ memainkan peranannya sebagai pembangkang yang bertanggungjawab sebaliknya hanya bermain politik.


“Saya ingin menasihatkan Hasnul supaya membaca semula Hansard DUN Perak. Setiap kali sidang Saarani membangkit isu tentang kesejahteraan serta kebajikan rakyat.


“Sebagai contoh isu pemotongan peruntukkan untuk golongan petani, nelayan dan penternak, isu peruntukan kawasan luar bandar yang dianaktirikan oleh kerajaan negeri serta isu kos hidup yang semakin meningkat,” ujarnya lagi.


Mengulas lanjut, Ahmad Saidi berkata bahawa krisis kepimpinan Dap pula didedahkan oleh ADUN Dap sendiri iaitu CK Leong yang mempersoalkan kepimpinan parti itu manakala ketidakadilan perlantikan ahli majlis serta MPKK pula dibangkitkan oleh Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador, yang menuduh Menteri Besar.


“Permainan politik ini tidak sekali-kali ditunjangi oleh Saarani atau ADUN pembangkang malah ia dimulakan oleh Exco Kerajaan dan ADUN PH sendiri.


“Janganlah menuduh Saarani bermain politik dan membelakangi masalah rakyat. Kami memainkan peranan sebagai penyemak dan pengimbang serta menyuarakan permasalahan rakyat.


“Sekali lagi bacalah Hansard DUN atau ikuti program-program kami yang terus membela serta berbakti kepada rakyat,” gesanya.


Ahmad Saidi juga menasihatkan Hasnul jangan cuba melaga-lagakan antara Saarani dan bekas Menteri Besar Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir.


“Gandingan antara Saarani dan Dr Zambry serta Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria adalah dalam tahap terbaik.


“Sebarang tuduhan serta dakwaan sembrono begini akan digelakkan oleh rakyat sebagaimana rakyat mentertawakan Hasnul ketika meletakkan piala di tempat yang paling tidak sesuai atau meraikan kemenangan pasukan bolasepak Perak ‘berseorangan’,” sinisnya.


Seterusnya, Ahmad Saidi turut menggesa supaya Hasnul menasihati Asmuni Awi dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin supaya belajar dari Saarani, Dr Zambry dan Razman bagaimana mentadbir parti dengan baik supaya tidak kucar kacir.


“Tadbirlah Pan dengan bijak sebelum cuba melaga-lagakan kepimpinan parti lain supaya tidak berlaku proses mesyuarat dan pemilihan diadakan semula kerana pilihan ahli parti tidak selaras dengan kehendak ‘golongan tertentu’.


“Memetik kata Tjokroaminoto salah seorang pengasas Sarekat Islam dan pejuang kemerdekaan Indonesia yang awal dalam sejarah moden negara itu yang menyebut untuk menjadi pemimpin yang hebat dua perkara perlu dilakukan hijrah dan iqra’ (membaca).


“Berhijrahlah dari kesempitan fikiran yang penuh rasa benci kepada kasih sayang dan dari kedangkalan akal menjadi sedikit cerdik. Bacalah supaya ada ilmu sebelum membuat tuduhan melulu,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE


Norlida Ishak Shop