Expired : 18.06.18

Facebook bakal sekat Huawei


SAN FRANCISCO, 5 Syawal 1440H, Ahad – Facebook akan menyekat Huawei daripada rangkaian aplikasi media sosialnya, bagi mematuhi sekatan Amerika Syarikat (AS), sekali gus mengasingkan syarikat teknologi terbesar China yang dianggap memberi ancaman keselamatan kepada Washington.


Gergasi media sosial itu berkata, mereka mengambil langkah berkenaan selepas Presiden Donald Trump mengarahkan Huawei disekat daripada pengeksportan teknologi kerana bimbang ia berkerjasama dengan perisikan China.


“Kami mengkaji semula peraturan Jabatan Komersial dan pemberian lesen sementara serta mengambil beberapa langkah untuk memastikan pematuhan terhadap sekatan itu,” kata jurucakap Facebook kepada AFP.


Syarikat berpangkalan di Menlo Park, California itu berkata, mereka yang memiliki telefon pintar Huawei sedia ada dengan aplikasi Facebook bagaimanapun, akan terus boleh menggunakan rangkaian itu dan memuat turun kemas kini aplikasi yang disediakan.


Langkah Facebook adalah tindakan terbaharu dalam usaha AS mengasingkan Huawei – penjual telefon pintar kedua terbesar dunia -tatkala kebimbangan keselamatan disuarakan di Washington.


Bulan lalu, Google berkata, mereka akan memutuskan hubungan dengan Huawei, sekali gus menyebabkan syarikat China itu berdepan kesukaran untuk memperoleh aplikasi utama daripada firma gergasi teknologi AS itu.


Keputusan Google itu akan menyebabkan telefon pintar baharu Huawei tidak memiliki Play Store, pasaran untuk kebanyakan aplikasi android, serta beberapa elemen sistem pengendalian mudah alih lain.


Facebook, yang diharamkan di China tetapi mempunyai lebih dua bilion pengguna di seluruh dunia, berkata keputusan itu akan menjejaskan rangkaian sosial utamanya serta aplikasi seperti Instagram, Messenger dan WhatsApp, yang masing-masing mempunyai sekurang-kurangnya satu bilion pengguna.


AS mengenakan sekatan itu pada 15 Mai lalu, tetapi Washington membenarkan tempoh pematuhan selama 90 hari, sekali gus membolehkan pengguna peranti Huawei untuk mengemaskinikan aplikasi baharu.


Huawei sebelum ini, menyatakan mereka akan mewujudkan sistem operasi sendiri bagi menggantikan platform Google Android, tetapi perlu mengembangkan pasaran aplikasinya, jika ia mahu mengekalkan pengguna di luar China.


Untuk terus mengekalkan pasaran telefon pintarnya, Huawei juga berusaha mencari bekalan baharu cip dan perkakasan berkaitan, tanpa pembekal AS, seperti Intel, Qualcomm dan Broadcom.


Menyukarkan lagi Huawei, kemungkinan besar ia akan terputus daripada ARM Holdings, pereka bentuk semikonduktor British yang mana teknologinya digunakan dalam kebanyakan cip mudah alih.


Langkah diambil Trump dibuat susulan kebimbangan bahawa Huawei, pendahulu rangkaian teknologi 5G, membenarkan pihak berkuasa China menggunakan rangkaian tanpa wayar berkelajuan tinggi untuk melakukan intipan. – Agensi


The post Facebook bakal sekat Huawei appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop