v Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan UTM Bantu Membentuk Atlet Muslim yang Cemerlang
Expired : 18.06.18

Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan UTM Bantu Membentuk Atlet Muslim yang Cemerlang

Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menyumbang ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat dengan mengadakan sebuah program kerohanian untuk pelatih Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT). 

Program ini merupakan hasil kerjasama antara FSSH dengan JDT dalam mempertingkatkan unsur kerohanian, kesedaran beragama, dan keterikatan dengan Tuhan dikalangan atlet muda negara.

Dalam usaha membina sahsiah diri pelatih, program ini menyediakan kelas dan syarahan agama dimana ia akan membantu dari segi kefahaman fardu ain, penghayatan akhlak, kesedaran akan kepentingan agama, dan keperluan motivasi yang sesuai untuk bantu membentuk mereka menjadi seorang atlet muslim yang cemerlang.

Antara isi utama dalam syarahan agama yang disediakan adalah berkaitan konsep pembelajaran dan menghormati ibu bapa. Belajar adalah suatu kewajipan seperti sabda Nabi SAW: “Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap muslim”, konsep belajar sangat luas dan Allah SWT akan mudahkan jalan orang yang menuntut ilmu untuk ke Syurga-Nya.

Nabi SAW juga bersabda “Sesiapa yang melalui jalan menuntut ilmu, Allah SWT akan mudahkan jalannya ke Syurga”. Justeru itu, belajar bermain bola yang juga merupakan satu pembelajaran ilmu  perlu dilakukan dengan penuh berdisiplin.

Seterusnya, Ibu bapa adalah manusia paling mulia untuk disantuni oleh anak-anak. Malah berbuat baik kepada mereka adalah arahan dari Allah SWT. Firman Allah SWT: “Dan tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah selain Allah SWT dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu” [al-Isra: 22].

Hormatilah mereka walaupun kita sudah mencapai kejayaan setinggi langit. Hal ini boleh dilihat dalam al-Qur’an apabila Allah SWT berfirman: “Dan rendahkanlah (tutup) sayap kemegahan kamu kerana belas kasihan kamu (kepada mereka)”. Allah SWT menggunakan perumpamaan ‘sayap’ kemegahan untuk menunjukkan betapa tinggi anak sudah boleh terbang mencapai kehebatan dunia, tutuplah sayap tersebut dan berpijaklah dibumi apabila berurusan dengan ibu bapa.

Perisian program seperti ini adalah antara idea dari para pendidik yang terlibat dalam program ini iaitu  dikalangan pensyarah dari fakulti itu sendiri seperti Dr. Mohammad Naqib bin Hamdan, Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Abu @ Hussin, Prof. Madya Dr. Siti Norlina binti Muhammad dan ramai lagi. Disamping itu, program ini juga melibatkan kira-kira 110 pelajar dikalangan atlet yang berumur dalam lingkungan antara 12 tahun hingga 17 tahun.

Program ini telah berlangsung buat pertama kalinya pada 6hb Mac 2020 di Dewan Seri Kencana, Kolej Datin Seri Endon . Namun, ia terpaksa ditangguhkan sementara selepas itu berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sempena pandemik Covid-19.

Mengikut perancangan pihak FSSH dan JDT, program ini akan berjalan secara berterusan selagi pelatih JDT tersebut menjadikan UTM sebagai pusat latihan mereka. Program tersebut juga telah dijadualkan akan berlangsung pada setiap hari Jumaat pagi atau petang tertakluk kepada jadual masa pelatih dan keadaan semasa yang mengizikan.

Semasa sesi perbincangan program yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Ajmain Safar, Pengerusi Akademi Tamadun Islam, FSSH (dua dari kiri)

Wakil FSSH dan JDT bergambar bersama selepas selesai sesi perbincangan program.