Expired : 18.06.18

Faliq nafi dakwaan

BEKAS Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Sembilan (PBMNS), Faliq Firdaus tampil menafikan dirinya tidak bertanggungjawab selepas membuat keputusan meletakkan jawatan pada Selasa lalu.


Ia adalah bagi menjawab kenyataan Setiausaha PBMNS, Abdul Rafi Abdul Murad dengan Faliq menjelaskan ia diambil selepas permohonan mendapatkan sokongan kewangan daripada pihak tertinggi persatuan tidak dilayan.


“Tindakan ini diambil bagi memberikan akauntabiliti kepada PBMNS berkongsi tanggungjawab dalam menguruskan pasukan dan menjaga nama baik persatuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Pada masa yang sama, beliau turut tidak lagi bergelar pengurus pasukan Negeri Sembilan pada Kejohanan Bola sepak Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2019.


“Sebagai pengurus pasukan, saya mengeluarkan perbelanjaan hampir RM30,000 dalam mempersiapkan pasukan.


“Saya masih komited membayar elaun pemain dan jurulatih, di samping memastikan pasukan mendapat kelengkapan yang secukupnya menjelang kejohanan dan mengatur pergerakan pasukan walaupun meletak jawatan Selasa lalu. Adakah saya tidak bertanggungjawab?,” katanya.


Semalam Abdul Rafi mendedahkan bahawa tindakan Faliq itu memberi kesan kepada persiapan skuad Negeri Sembilan bagi menghadapi kejohanan PERR bermula 14 September ini.


Bagaimanapun PBMNS sudah melantik seorang ahli perniagaan, Mohd Nazri Abdul Hashim sebagai pengurus pasukan baharu.


Norlida Ishak Shop