Expired : 18.06.18

FAM bincang kerjasama dengan Aspire Academy

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini mengadakan lawatan ke akademi sukan serba canggih dan cukup terkenal di dunia, Aspire Academy di Doha, Qatar.


Lawatan beliau disambut oleh Pengarah Prestasi & Sains Bola Sepak Aspire Academy, Profesor Valter Di Salvo.


Valter adalah bekas jurulatih kecergasan kelab bola sepak terkemuka seperti Lazio, Real Madrid dan Manchester United selain individu penting dalam membangunkan Aspire Football, salah satu komponen di Aspire Zone.


Turut serta Koordinator Prestasi Bola Sepak Aspire Academy, Daniele Bonanno dan Pegawai Perhubungan Awam Aspire Academy, Esperanza Campuzano.


Hamidin menerusi kenyataan di laman Facebook FAM berkata dia dibawa melawat kemudahan terdapat di Aspire Football, bangunan yang siap sepenuhnya dibina pada 2017 merangkumi 15 padang bola sepak dan dua padang rumput tiruan termasuk juga padang tertutup.


"Sebelum lawatan ini, saya telah bertemu dengan Saoud Al-Mohannadi, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) yang juga Ahli Majlis FIFA untuk membincangkan kerjasama dengan Aspire Academy ini dalam membantu FAM menghantar pasukan remaja bawah 13 tahun (B-13) hingga B-18 kita terutama pasukan elit remaja negara di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang untuk datang menjalani kem latihan di akademi ini secara lebih kerap.


"Akademi ini diakui mempunyai kelengkapan latihan, perubatan dan kemudahan moden yang lengkap dan terkini. Sudah tentu kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak negara," kata Hamidin.


Aspire Academy ditubuhkan pada 2004 untuk mencari dan membangunkan atlet muda terbaik Qatar dengan program bola sepaknya telah membawa negara itu memenangi Kejuaraan B-19 AFC 2014 dan layak ke Piala Dunia B-20 2015.


Lawatan itu adalah sebahagian program kunjungan hormat Hamidin selaku Presiden FAM dan Exco AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) yang menerima jemputan peribadi daripada Presiden QFA, Sheikh Hamad Khalifa Al Thani.


Norlida Ishak Shop