v FAM sambung agenda untuk 2020
Expired : 18.06.18

FAM sambung agenda untuk 2020

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan terus menjadikan 2020 sebagai tahun untuk memperbaiki dan mengukuhkan lagi pelaksanaan pelan hala tuju F:30 yang dilancarkan Oktober 2018 agar bola sepak negara secara berterusan berupaya memberi saingan sengit di persada antarabangsa.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Harimau Malaya berjaya menutup tirai 2019 dengan baik selepas menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi kelima Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 19 November lalu sekaligus menaikkan lagi semangat pemain serta penyokong untuk menyaksikan lebih banyak kejayaan secara konsisten.

Kemenangan itu membuka peluang buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk terus berada dalam persaingan merebut tempat ke pusingan seterusnya dan layak ke Piala Asia 2023.

“Sudah tentu usaha ini tidak terhenti setakat ini dan pasti akan diteruskan lagi kerja keras untuk sepanjang tahun akan datang.

“Agenda berterusan lain ialah memastikan projek naturalisasi yang menjadi antara usaha jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam melonjakkan standard skuad kebangsaan tanpa mengetepikan program pembangunan yang sedia ada.

"Juga memperbaiki susun atur urus tadbir dan jalinan kerjasama dengan pemegang taruh lebih diperkukuhkan termasuk penambahbaikan untuk memudahkan penyokong menonton perlawanan dengan lebih selesa.

“Semoga tahun 2020 memberi kejayaan lebih baik untuk pasukan kebangsaan dan bola sepak Malaysia khususnya," kata Hamidin menerusi laman rasmi FAM, hari ini.

Pada 2019, FAM berjaya melaksanakan pelancaran Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Piagam Suparimau bagi pembangunan akar umbi selain pengenalan DNA Bolasepak Malaysia.

Selain itu, menyaksikan skuad Harimau Malaya melonjak 13 anak tangga secara keseluruhan iaitu daripada tangga ke-167 pada kemas kini pertama 2019 kepada 154 pada kemas kini terakhir tahun ini.