Expired : 18.06.18

Federer hanya fokus Roland Garros

ROGER Federer hanya akan tampil beraksi di atas gelanggang tanah liat musim ini di Roland Garros, menurut ejennya hari ini.


Bintang Switzerland itu mengetepikan keseluruhan aksi tanah liat pada musim 2017 dan 2018 dan hanya menyertai dua kejohanan di atas permukaan itu tahun lalu sebelum tiba di Paris untuk menyertai Terbuka Perancis.


Wujud spekulasi Federer memasukkan Madrid dan Masters Rome dalam jadual kejohanan 2020 tetapi ejennya, Tony Godsick berkata itu perkara lain.


"Seperti dalam jadual, dia hanya mahu beraksi di Roland Garros," kata Godsick.


Pemain berusia 38 tahun itu meredakan jadual padatnya dengan tidak menyertai kejohanan tertentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam usaha memanjangkan kariernya.


Tidak seperti pencabar utama lain, Federer yang menjuarai gelaran terakhir Grand Slam di Melbourne Park pada 2018 tidak menyertai Piala ATP di Australia bagi menumpukan lebih masa kepada keluarga sebelum menyertai musim Jelajah ke-22nya.


Dia tiba di Terbuka Australia tanpa menyertai aksi kompetitif sejak Pusingan Akhir ATP pada November lalu tetapi masih mampu mara ke separuh akhir namun tewas kepada juara kejohanan, Novak Djokovic.


Federer yang hanya sekali menjuarai Terbuka Perancis pada 2009 pasti mempunyai masa rehat mencukupi menjelang Roland Garros bermula 24 Mei.


Kejohanan gelanggang keras Miami Masters yang bermula pada 25 Mac-5 April adalah yang terakhir dalam jadualnya sebelum Grand Slam.


Pemain Switzerland itu akan mempertahankan trofi Kejohanan Dubai Duty Free minggu depan sebelum menyertai Terbuka BNP Paribas di California bulan depan.


Ketika Federer menyertai tujuh Grand Slam berturut-turut tanpa kejayaan, dia berkata di Melbourne dia tetap yakin mampu menambah koleksi kejuaraan.


"Ya, saya yakin melakukannya, “ kata Federer. “Saya fikir berdasarkan prestasi tahun lalu dengan cara saya bermain, saya dapat merasakannya.”