Expired : 18.06.18

Felda United sokong Hadin

BIARPUN Hadin Azman tidak mempamer prestasi terbaik bersama Harimau Malaya, Felda United FC tetap memberi sokongan kepada kapten kelab itu.


Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, Hadin yang beraksi sebagai pemain tengah masih tunjang utama Felda United dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.


"Kejayaan membantu pasukan kekal di Liga Super musim depan, malah membawa pasulan mara ke separuh akhir Piala FA musim ini amat membanggakan.


"Oleh itu, saya percaya kembalinya Hadin dalam pasukan untuk baki saingan peringkat Kumpulan D Piala Malaysia mampu membantu The Fighters mara ke suku akhir.


"Walaupun persembahan Hadin ketika bersama Harimau Malaya yang tidak memihak kepadanya pada kali ini, ia diharap tidak menjejaskan komitmen dan prestasi bersama kelab," katanya.


Mohd Nidzam berkata, ini kerana dalam Felda United, Hadin bukan saja kapten malah nadi dan semangat kepada pemain lain untuk meletakkan The Fighters melakar keputusan terbaik setiap perlawanan.


"Dia juga penjaring terbanyak buat pasukan ketika Felda United hampir tersingkir ke Liga Perdana tetapi kami bangkit di penghujung saingan Liga Super," katanya.


Mohd Nidzam, bekas pemain kebangsaan mahu kapten pasukan itu membantu The Fighters mengisi slot suku akhir Piala Malaysia.


"Sebagai jurulatih, saya akan terus memberi sokongan. Begitu juga semua pemain FELDA United untuk bersama meningkatkan imej pasukan," katanya.


Pada aksi pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia, Hadin disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya.


Namun, selepas beraksi selama 37 minit, jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mengeluarkan Hadin dan memasukkan Mohamadou Sumareh.


Pada perlawanan kedua bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hadin tidak disenaraikan.


Norlida Ishak Shop