Expired : 18.06.18

Filem ke politik? Pengarah rebut jawatan ketua bahagian

Datuk Jurey Latiff Rosli (kiri) bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga, kiri) dan Datuk Seri Salleh Said Keruak (empat, kiri) di majlis perasmian 'Malay Regiment'. 24 Ogos 2017. — Foto oleh Yusof Mat Isa
Datuk Jurey Latiff Rosli (kiri) bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga, kiri) dan Datuk Seri Salleh Said Keruak (empat, kiri) di majlis perasmian 'Malay Regiment'. 24 Ogos 2017. — Foto oleh Yusof Mat Isa

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Pengarah filem Datuk Jurey Latiff Mohd Rosli mengumumkan akan bertanding dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Memberitahu perkara itu di Facebook, Jurey, 53, berkata beliau bakal merebut tempat sebagai ketua bahagian PPBM Lenggong.


“Bersempena hari Jumaat yang barokah bagi mendapat keberkatan dan doa dari semua ahli yang menyokong, dengan rasa rendah diri serta bertawwaduq, saya mengumumkan bertanding jawatan ketua bahagian PPBM Lenggong,” katanya semalam.


“Saya mohon kepada semua ahli yang saya hormati dan sanjungi untuk keluar membuat pemilihan ketua yang layak dan mampu membawa perubahan di Lenggong.”


Pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa pada 2005, kali terakhir beliau mengarah adalah filem Malay Regiment, kira-kira tiga tahun lalu.


Banyak terlibat dalam pengarahan drama, Jurey kali pertama mengeluarkan filem pada 2011, iaitu Libas yang dilakonkan Rosyam Noor, Scha Al Yahya, Afdlin Shauki dan Johan Raja Lawak.


Pemilihan PPBM Perak dijadualkan berlangsung pada 15 Februari ini, yang menyaksikan 1,225 ahli.