Expired : 18.06.18

Fowler mahu hapus badi

IA mungkin pujian yang boleh diterima tetapi Rickie Fowler yakin mampu menamatkan gelaran ‘pemain terbaik yang tidak pernah menjuarai kejohanan utama’ tidak kira sama ada di Pebble Beach minggu ini atau tidak.


Fowler akan membuat pukulan tee kejohanan utama buat kali ke-37 apabila Terbuka Amerika Syarikat bermula Jumaat ini.


Pemain Amerika Syarikat berusia 30 tahun itu menang lima gelaran Jelajah PGA AS tetapi masih belum mampu membolosi tahap tertinggi dan sekali lagi berdepan persoalan adakah ia satu beban yang tidak tertanggung.


“Ia mungkin satu pujian,” kata Fowler.


“Jelas sekali ramai pemain hebat yang tidak pernah menjuarai kejohanan utama.


“Ia bukan sesuatu yang saya fikir atau khuatirkan. Saya tahu apabila tiba masanya, ia akan berlaku juga.”


Fowler pernah meletakkan sasaran untuk menjuarai kejohanan utama, khususnya pada Kejuaraan PGA di Valhalla 2014 apabila dia menyesali kesilapan pengiraannya pada lubang ke-14 ketika Rory McIlroy meraih kemenangan dan Augusta National tahun lalu di mana dia gagal mendapat birdie mencukupi untuk mengetepikan Patrick Reed.


“Saya tidak akan katakan ia sudah berada di tangan saya dan terlepas, dan ia sesuatu yang bagus,” kata Fowler.


Dia berhasrat untuk terus memburu cabaran sekali lagi di Pebble Beach meskipun dia turut beraksi di lapangan California.


Norlida Ishak Shop