Expired : 18.06.18

Francis-Wei Ying raih perak Kejohanan Orang Pekak Asia Pasifik

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Francis Tan Heng Bock-Boon Wei Ying terpaksa akur apabila sekadar meraih pingat perak pada Kejohanan Badminton Orang Pekak Asia Pasifik ke-5, hari ini.


Francis-Wei Ying tewas di tangan pilihan utama dari Taiwan, Chen Chung-Fan Jung Yu 14-21, 12-21 pada aksi final di Stadium Juara, Bukit Kiara.



Bagaimanapun, pasangan negara itu masih boleh mendabik dada apabila mereka memperbaiki pencapaian dilakar pada edisi terdahulu di Taiwan empat tahun lalu dengan meraih gangsa.


“Secara jujurnya kami tetap bangga dengan pencapaian ini. Ini satu peningkatan baik untuk kami memandangkan kami hanya meraih gangsa empat tahun lalu.


“Kami rasa boleh bermain dengan lebih baik lagi pada kejohanan ini sekiranya kami menjalani latihan bersama dengan lebih kerap tapi ia agak sukar kerana kami hanya bermain secara sambilan,” kata Wei Ying.


Tidak mahu terlalu meratapi kegagalan muncul juara pada edisi kali ini, Francis-Wei Ying berkata, fokus mereka kini terarah kepada persiapan menghadapi tiga kejohanan utama tahun depan - Sukan Orang Pekak ASEAN di Thailand, Kejohanan Badminton Orang Pekak Dunia (Taiwan) dan Sukan Orang Pekak Asia (Hong Kong).


“Kami harap boleh membuat persiapan terbaik bagi menghadapi semua kejohanan utama itu. Ia akan menjadi sesuatu yang menakjubkan jika dapat menyumbang pingat kepada negara.


“Namun, pada masa sama kami juga memerlukan penaja untuk membantu,” kata Francis.


Norlida Ishak Shop