Expired : 18.06.18

Futra kecewa

JURULATIH pasukan sepak takraw Terengganu Turtles, Mohd Futra Abdul Ghani mendedahkan ketiadaan tonggak menjadi punca skuadnya gagal mempertahankan kedudukan dalam saingan Liga Premier musim depan.


Terengganu Turtles yang membariskan ramai pemain muda sekadar menamatkan saingan Liga Sepak Takraw (STL) di tangga kesembilan sekali gus jatuh ke Divisyen Satu musim depan.


"Sudah tentu kami mahu kekal dalam saingan Premier musim depan lebih-lebih lagi sokongan peminat kian bertambah, namun malangnya saya tidak dapat menurunkan pasukan terkuat.


"Ini ditambah Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak membenarkan penggantian pemain kecuali sakit atau kecederaan teruk.


"Justeru skuad kami terpaksa mengharungi STL dengan barisan muda sehingga dikecam peminat yang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam pasukan," ujar Futra.


Bekas perejam kebangsaan itu berkata penarikan diri apit kanan berpengalaman yang juga perejam, Fazli Roslan dan Safaruddin Abu Bakar pada minggu kedua menjejaskan persiapan pasukannya ketika kejohanan STL.


“Situasi itu memaksa kami menurunkan pemain muda majoritinya dibarisi skuad Sukan Malaysia (SUKMA) namun gagal mencipta keputusan memuaskan kerana kurang pengalaman.


“Percaturan memasukkan pemain import dari Thailand, Narongsak Jittisak dan Phutawan Sopa turut tidak membuahkan hasil.


Kami kaji dan lihat faktor pengalaman turut memainkan peranan besar dalam STL.


"Bagi aksi musim depan, pemain muda yang betul-betul layak saja akan beraksi selain gabungan tonggak senior serta pemain import jika dibenarkan PSM kerana persiapan awal pasti perlu dilakukan segera untuk kembali bersaing dalam Liga Premier musim 2021," ujar Futra turut menyenaraikan pemain berusia 17 tahun, Amar Roslan dan Afif Jazimin Zainal Abidin, 16 musim ini.


Norlida Ishak Shop