Expired : 18.06.18

Gangguan kesihatan di Pasir Gudang: 10 sekolah berisiko


BANGI, 11 Zulkaedah 1440H, Ahad – Sebanyak 10 sekolah di Pasir Gudang berisiko yang memerlukan pemantauan lebih rapi termasuk dibekalkan alat pengesan gas (MultiRAE Gas Detector) secara kekal.


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan berkata, langkah itu penting berikutan 10 sekolah berkenaan paling hampir dengan kawasan perindustrian di kawasan berkenaan, sekali gus paling terdedah kepada gangguan kesihatan.


Beliau berkata, 10 buah sekolah itu dikesan sebagai berisiko memandangkan bacaan udara yang diambil berubah-ubah dan tidak kekal pada paras sifar.


“Kami berharap pihak industri akan dapat membekalkan alat pengesan gas untuk diletakkan secara kekal di semua 111 sekolah dalam kawasan ini secepat mungkin.
Namun tumpuan harus diberi terhadap 10 sekolah berisiko yang terletak berhampiran dengan kawasan perindustrian,” katanya seperti dilapor media tempatan.


Minggu lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menyerahkan alat pengesan gas kepada 111 sekolah di Pasir Gudang bagi memantau bacaan Volatile Organic Compound (VOC) selama seminggu.


Pengarah JAS Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar dilaporkan berkata, data bacaan dalam tempoh 24 jam itu akan digunakan bagi analisis dan mencari punca insiden gangguan kesihatan terhadap murid dan pelajar sejak lebih dua minggu lalu.


Beliau berkata, JAS Johor akan mewujudkan kumpulan WhatsApp bagi membolehkan sekolah menyalurkan bacaan data VOC secara terus.


“Data yang dikumpul secara berpusat ini akan dianalisis dan jika ada sekolah mencatatkan bacaan VOC selain daripada nilai kosong peratus, JAS akan membawa alat Gasmate bagi menentukan kehadiran gas kimia di sekolah berkenaan.


“Keutamaan akan diberi pada sekolah yang mencatat bacaan VOC antara yang tertinggi bagi pemantauan segera,” katanya.


The post Gangguan kesihatan di Pasir Gudang: 10 sekolah berisiko appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop