Expired : 18.06.18

Gantung dua musim, City rayu ke CAS

MANCHESTER City digantung daripada beraksi di kejohanan Eropah pada dua musim akan datang selepas melanggar peraturan kewangan (FFP) yang serius dan perkara itu diumumkan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) awal pagi tadi.


City, yang juga didenda sebanyak 30 juta euro (RM134 juta) mengumumkan mereka akan membuat rayuan mengenai penggantungan berkenaan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).


“Kami berasa sangat kecewa tapi tidak terkejut dengan pengumuman yang dilakukan oleh bahagian undang-undang UEFA.


“Bagaimanapun, ada sedikit keraguan mengenai keputusan yang sudah dikeluarkan ini.


“Secara mudahnya, ini adalah kes yang dimulakan oleh UEFA, dituntut oleh UEFA dan diadili oleh UEFA. Kami akan membawa perkara ini ke CAS secepat mungkin,” jelas satu kenyataan yang dikeluarkan kelab berkenaan.


Pasukan bimbingan Guardiola itu akan berdepan Real Madrid dalam aksi 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara.


UEFA yang mengenakan penggantungan itu bagi musim 2020/21 dan 2021/22 berkata, City gagal untuk memberi kerjasama dalam siasatan.


Sebelum ini City pernah gagal untuk membawa perkara berkaitan dengan hukuman yang dikenakan UEFA ke CAS.


“Rayuan tidak semestinya boleh menghapuskan penggantungan tapi ia boleh cuba dilakukan,” jelas UEFA.


Penyiasatan ke atas City berdasarkan emel yang tersebar luas tahun lalu dan ia dilaporkan oleh majalah Jerman, Der Spiegel iaitu sebahagian daripada ‘Football Leaks’.