Expired : 18.06.18

Gelombang banjir di wilayah Iran dijangka lebih buruk


TEHRAN, 1 Syaaban 1440H, Ahad – Keadaan banjir buruk di Iran semakin membimbangkan apabila pihak berkuasa mengeluarkan amaran baharu membabitkan puluhan kampung dan bandar di bahagian selatan negara itu.

Pihak berkuasa mengarahkan penduduk di selatan Iran berpindah berikutan gelombang baharu dijangka melanda beberapa kawasan, terutama bersempadan dengan Iraq.




Banjir buruk berterusan yang melanda negara itu sejak Mac lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 70 nyawa, dan merosakkan banyak infrastruktur serta tempat tinggal penduduk.

Semalam, Iraq memutuskan untuk menutup laluan sempadan Chazabeh, selepas pihak berkuasa negara itu mengharamkan perjalanan dan perdagangan melalui sempadan ekoran banjir di wilayah Khuzestan.

Pihak kastam Khuzestan menggesa syarikat-syarikat perdagangan untuk menggunakan satu lagi laluan menyeberangi selatan sebagai alternatif, lapor agensi berita tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Abdoreza Rahmani Fazli berkata, banjir buruk mungkin menjejaskan kira-kira 400,000 orang di Khuzestan, daripada lebih 4.7 juta penduduk wilayah itu.




Difahamkan, hujan lebat juga dijangka melanda bahagian timur laut negara itu, termasuk bandar Mashhad.

Gelombang banjir sebelum ini telah menjejaskan ribuan penduduk, dan mencetuskan panik di wilayah Lorestan barat.



Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Abdolhashem Hassannia berkata, sebanyak 275 laluan kampung di wilayah itu ditutup.

“200 jambatan dan 400 kilometer jalan raya musnah 100 peratus akibat banjir buruk itu” katanya.

Pada 25 Mac lalu, puluhan orang maut akibat banjir buruk yang melanda bandar Shiraz – sebuah destinasi popular bagi pelancong.- Agensi


The post Gelombang banjir di wilayah Iran dijangka lebih buruk appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop