Expired : 18.06.18

Gerai Bunian di kaki bukit [METROTV]

SEAWAL 6.30 pagi, tiga beradik iaitu Aaron Keneth Arman, Adam Rafiq dan Aida Reesa sudah berada di tapak gerai mereka di Bukit Broga, Semenyih untuk menyusun kerusi, meja dan barangan jualan sebelum mula berniaga.


Rutin itu menjadi kebiasaan mereka pada setiap hujung minggu sejak mengusahakan gerai menjual makanan dan minuman dinamakan Gerai Bunian yang dibuka lebih setahun lalu.


Disebabkan namanya unik, gerai terletak 300 meter dari kaki bukit itu sering kali menjadi persinggahan pendaki solo atau berkumpulan untuk menghilangkan dahaga dan mengalas perut selepas selesai pendakian.


Malah, ada dalam kalangan pendaki singgah semata-mata untuk mengambil swafoto dengan latar belakang gerai.


Menurut Adam Rafiq, 17, idea mengusahakan gerai itu tercetus hasil galakan daripada ayah mereka, Arman Arshad, 42, dan ibu, Suzie Ganis, 39, yang aktif dalam aktiviti pendakian di Bukit Broga.


PENDAKI tidak melepaskan peluang berehat di Gerai Bunian milik Arman selepas mendaki Bukit Broga di Semenyih. FOTO Aizuddin Saad.

“Saya mengusahakan gerai ini dengan bantuan abang dan adik sejak akhir 2018.


“Kebiasaannya, kami akan bangun awal untuk bersiap sebelum bertolak dari rumah pada 5.30 pagi.


“Selain nasi lemak, kami menjual minuman serta biskut dan setakat ini, penerimaan pelanggan amat baik malah segelintir mereka singgah ke sini hanya untuk bergambar,” katanya.


Sementara itu, Aida, 14, berkata, aktiviti di tapak niaga itu tidak memenatkan, tetapi menyeronokkan kerana dapat menimba pengalaman mengurus perniagaan.


“Saya dan adik beradik sudah biasa dengan kawasan ini kerana sering mengikut ibu dan ayah mendaki.


“Jadi, tiada masalah untuk bangun awal pada hujung minggu untuk ke sini, tetapi pengalaman tidak dilupakan adalah ketika terpaksa berteduh di bawah khemah sewaktu hujan lebat.


“Namun, lebih banyak pengalaman menyeronokkan antaranya apabila dapat berkenalan dengan pendaki termasuk dari luar negara,” katanya yang juga anak ketiga daripada lima beradik.


ARMAN (kiri) bersama ahli keluarga yang menguruskan Gerai Bunian di kaki Bukit Broga di Semenyih. FOTO Aizuddin Saad.

Dalam pada itu, Arman berkata, dia dan isteri memberi galakan kepada tiga anaknya itu kerana mahu memberi pendedahan kepada mereka mengenai dunia perniagaan dan cara pengurusannya di peringkat awal.


“Boleh dikatakan, setiap minggu saya bersama keluarga datang ke sini untuk melakukan aktiviti pendakian dan daripada situ, timbul idea untuk membuka gerai diusahakan anak.


“Ramai bertanya kenapa memilih nama berkenaan (Gerai Bunian) dan sebabnya adalah kerana kedengaran unik dan pernah berlaku kes orang hilang di sini.


“Ada mengaitkan kehilangan itu disebabkan bunian tetapi tidak pasti sejauh mana kebenarannya kerana tujuan utama saya dan isteri adalah memberi pendedahan kepada anak mengenai perniagaan.


“Sekurang-kurangnya, mereka mendapat duit poket hasil daripada jualan makanan dan minuman,” katanya.