Expired : 18.06.18

Gesaan Dominic Lau mansuh matrikulasi hanya politik murahan


BANGI, 10 Ramadan 1440H, Rabu – Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan gesaan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau agar kerajaan memansuhkan program matrikulasi serta menjadikan kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai satu-satunya kaedah kemasukan pelajar ke universiti awam, sebagai tidak bertanggungjawab.


Ini kerana, katanya, program matrikulasi dengan kuota kemasukan 90 peratus bagi pelajar Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera diperkenal dan dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) dengan Gerakan selaku komponennya mendukung kuat dan tidak pernah menentangnya.


“Jika benar program matrikulasi adalah amalan diskriminasi kepada pelajar bukan Bumiputera seperti yang didakwa oleh Dominic, mengapa tidak sekali pun beliau atau pemimpin Gerakan lain mempertikaikannya ketika mereka masih bersama BN?


“Tidak lain tidak bukan kerana mereka tahu bahawa program matrikulasi adalah dilindungi oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan perizaban tempat pengajian ke universiti awam, malah ke mana-mana universiti, kolej dan institusi pendidikan lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, tindakan Dominic membangkitkan perkara ini dan menekan DAP menyuarakannya adalah satu perlakuan yang tidak sihat, tambahan pula bila Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 April 2019 telah memutuskan untuk mengekalkan kuota ini.


Walhal, katanya, masalah asal yang dibangkitkan membabitkan beberapa pelajar bukan Bumiputera cemerlang yang tidak mendapat tempat pengajian, telah selesai apabilabila Kabinet setuju menambah bilangan kemasukan pelajar matrikulasi kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini.


“Gesaan Datuk Dominic Lau adalah cubaan politik murah untuk mendapatkan sokongan pengundi bukan Bumiputera kepadanya setelah beliau kalah di semua kerusi ditandingi dalam PRU14 dengan memperlihatkan Gerakan sebagai lebih DAP daripada DAP sendiri.


“Saya suka menasihatkan Datuk Dominic Lau dan Gerakan supaya berpolitik secara sihat dan matang serta tidak cuba mengapi-apikan semangat perkauman pengundi bukan Bumiputera setelah wakilnya dalam Kabinet bersetuju dengan pengekalan kuota ini,” katanya.


Pada masa sama, Naib Presiden UMNO itu berkata, jika Dominic dan Gerakan mahu mendesak kerajaan supaya membuat reformasi dalam bidang pendidikan, buatlah desakan yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) seperti menjadikan universiti awam mestilah percuma untuk semua.


“Memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan kelulusan STPM satu-satunya kaedah kemasukan pelajar ke universiti awam bukanlah janji yang terkandung dalam Manifesto PH, dan program matrikulasi masih relevan kerana agihan kaum di universiti belum tercapai,” katanya.


The post Gesaan Dominic Lau mansuh matrikulasi hanya politik murahan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop