Expired : 18.06.18

Ginseng gurun beracun

KUALA LUMPUR: Kononnya beroperasi di pejabat mewah terletak di bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas (KLCC) hasil aktiviti menjual produk rangsangan seks berasaskan ginseng gurun.


Namun itu hanya tipu helah sindiket dikesan aktif mengedarkan gula-gula rangsangan seks jenama Hamer Ginseng dan Coffee Candy diharamkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Lebih mengejutkan apabila sindiket menjual gula-gula seks haram ini turut mengeksport produk yang boleh mengancam nyawa hingga ke beberapa negara di Asia Barat.


Jurucakap KKM berkata, bahaya berhubung produk ini disedari pihak berkuasa kesihatan di beberapa negara Asia Barat sebelum ia dilaporkan kepada KKM.


“Susulan maklumat diperolehi, Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) KKM melakukan siasatan serta serbuan di di seluruh negara sejak Mac lalu.


“Bagaimanapun pihak BPF gagal menahan dalang sebenar sindiket itu berikutan mereka menggunakan pelbagai alamat palsu,” katanya.


Menurutnya, sindiket didapati menggunakan kaedah pemasaran agresif di media sosial untuk menarik seramai mungkin pelanggan.


“Produk ditempah pelanggan dihantar menggunakan khidmat kurier atau pos. Ini menyukarkan BPF mengesan lokasi sebenar suspek beroperasi.


“Berdasarkan siasatan, gula-gula Hamer Ginseng dijual pada harga RM280 sekotak mengandungi 30 biji gula-gula di dalamnya,” katanya.


PRODUK Hamer Ginseng dan Coffee Candy yang dirampas mengandungi racun Nortadalafil.



Dia berkata, sindiket cuba mengelirukan pengguna dengan mendakwa produk dijual berkhasiat untuk mengubati penyakit jantung, diabetes, darah tinggi, menopaus dan penyakit lain.


Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hasil analisis makmal mendapati produk Hamer Ginseng dan Coffee Candy mengandungi racun berjadual Nortadalafil dan disahkan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).


Menurutnya, Nortadalafil ubat terkawal digunakan untuk merawat masalah fungsi seksual lelaki (impotensi atau erectile dysfunction).


Beliau berkata, KKM mengesan beberapa premis menjual produk berkenaan di sekitar Lembah Klang dan mereka yang mempunyai stok produk ini diminta menghentikan semua penjualan, pengedaran atau penggunaannya.


“Semua pembekalan produk mengandungi racun berjadual tertakluk kepada Akta Racun 1952. Nortadalafil dikelaskan sebagai Racun Kumpulan B mengikut Jadual Pertama Akta Racun 1952,” katanya.


Menurut Noor Hisham, penggunaan Nortadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah sehingga ke peringkat berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung yang boleh menyebabkan kematian.


Katanya, kementerian melalui BPF membuat pemantauan dan penguatkuasaan ke atas pihak yang mengilang, mengedar dan menjual produk Hamer Ginseng dan Coffee Candy di pasaran.


ANGGOTA penguat kuasa BPF melakukan rampasan produk Hamer Ginseng di Kuantan.



“Sepanjang tahun lalu, enam serbuan dijalankan merangkumi rampasan produk sebanyak 328 peket dengan nilai rampasan RM2,724. Manakala operasi meningkat kepada 19 serbuan pada tahun ini dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM18,910.


“Pada tahun ini, 87 platform laman sesawang dan media sosial berkaitan penjualan produk disaring, dipantau dan diambil tindakan sekatan di seluruh negara oleh BPF bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.


Dalam pada itu katanya, penjualan racun berjadual tanpa lesen sah boleh disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.


Norlida Ishak Shop