Expired : 18.06.18

Google Maps Kini Menyokong Paparan Pemetaan Dalam Bangunan Di Malaysia

Google Maps memetakan jutaan kilometer jalan-jalan di permukaan bagi memudahkan proses navigasi. Di Malaysia, sebanyak 90% jalan-jalan awam telahpun disokong di dalam Street View yang boleh diakses menerusi Map. Hari ini sebuah lagi fungsi menarik akhirnya disokong di Malaysia ialah paparan pemetaan di dalam bangunan.


Bangunan pertama yang menerima sokongan ini ialah pusat membeli belah Sunway Pyramid. Menerusi fungsi pemetaan ini, lokasi 1000 kedai-kedai di dalam bangunan seluas 1.8 juta kaki persegi ini dapat dicari dengan lebih mudah oleh pengguna Maps.


Apa yang menarik adalah fungsi ini membolehkan anda melihat lokasi setiap tingkat yang terdapat pada pusat membeli belah. Pengguna boleh melihat peta mengikut tingkat lengkap dengan maklumat seperti nombor kedai dan tempat menarik seperti gelanggang luncur ais. Petunjuk ini akan memudahkan pengguna untuk ke lokasi yang dikehendaki.


Selain itu, anda juga boleh melihat kedudukan lokasi lain seperti farmasi, restoran, tandas awam, ATM, pembayaran tempat letak kereta, pengurup wang dan barangan runcit. Secara terus ia dapat menjimatkan masa dan tenaga anda sewaktu mencari lokasi yang diingini.


Buat masa ini, di Malaysia ciri ini hanya diaktifkan pada lokasi pusat membeli-belah, Sunway Pyramid sahaja dan ia hadir pada kedua-dua pengguna peranti Android serta iOS. Sudah pasti, ciri ini akan diperluaskan lagi pada kawasan lain dari semasa ke semasa untuk memudahkan proses mencari ketika di dalam bangunan.


Norlida Ishak Shop