Expired : 18.06.18

GP Perancis mangsa terbaru Covid-19

GRAND Prix Perancis bakal menjadi satu lagi pusingan dalam saingan Formula Satu (F1) ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.


Presiden Perancis, Emmanuel Macron menerusi siaran di kaca televisyen berkata, semua acara awam berskala besar tidak dibenarkan untuk dianjurkan sehinggalah pertengahan Julai.


GP Perancis dijadual berlangsung di Litar Paul Ricard berhampiran Marseille pada 28 Jun.


Macron berkata, perintah berkurung akan dilanjutkan sehingga 11 Mei dan selepas itu pusat asuhan kanak-kanak, sekolah rendah dan menengah bakal dibuka manakala bar, restoran dan panggung wayang kekal ditutup.


Perkembangan terbaru itu menyaksikan agak mustahil untuk menganjurkan GP Perancis yang dihadiri kira-kira 135,000 penonton tahun lalu.


Ia akan menjadi pusingan perlumbaan ke-10 yang bakal digugurkan bermula daripada pusingan pertama berikutan pandemik Covid-19.


F1 akan mempertimbangkan beberapa pilihan untuk menyusun semula jadual pusingan perlumbaan selepas ini.


Harapan yang ada ialah permulaan musim ini dapat bermula di Eropah pada musim panas dan kemungkinan besar perlumbaan pertama akan berlangsung secara tertutup.