Expired : 18.06.18

Graduan UM ‘meroyan’ didorong fahaman politik cauvinis

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar


BANGI, 17 Safar 1441H, Rabu – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) yakin tindakan graduan ‘meroyan’ di majlis konvokesyen Universiti Malaya (UM) baru-baru ini, bukan hanya didorong individu sahaja, tetapi juga ideologi kebebasan dan fahaman politik cauvinis yang diwariskan daripada luar kampus.


Justeru, Pembina menyarankan kepada pihak pentadbiran UM untuk menyelia aktiviti mahasiswa yang cenderung kepada melahirkan individu seperti Wong Yan Ke.


Presiden Pembina, Azam Asri berkata, Yan Ke sudah beberapa kali meroyan mengenai isu identiti nasional, malah plakad yang tertulis perkataan yang salah iaitu ‘Raykat’ dalam satu tunjuk perasaan di sekitar UM, adalah antara kejadian yang dipelopori oleh graduan itu.


“Mereka adalah Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) yang cenderung kepada ideologi politik rasis dan ekstrem DAP. Yan Ke bukan sekadar mempunyai masalah dengan adab yang dimiliki, tetapi juga mempunyai masalah dengan ideologi kebebasan yang sering dilaung-laungkannya.


“Masalah ini bukan hanya pada Yan Ke seorang sahaja tetapi lebih kepada ideologi yang dimiliki persatuan-persatuan seperti Umany ini. Sekiranya kita lihat di dalam video kejadian di dewan konvokesyen, terdapat juga tepukan dan sokongan yang diberikan kepada Yan Ke atas tindakan biadabnya.


“Hal ini bermaksud ramai sebenarnya yang menyokong tindakan Yan Ke ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.


Selain itu, Azam turut menyarankan Yan Ke membuat permohonan maaf secara terbuka sekiranya wujud lagi ketinggian adab dalam dirinya sebagai graduan.


“Bagi saya, orang yang menyatakan seseorang itu rasis tanpa asas yang jelas sepatutnya dia sendiri yang patut digelar rasis. Saya cadangkan juga kepada saudara Yan Ke bergaullah dengan bangsa lain terutamanya bangsa Melayu serta pelajari sejarah negara dengan betul.


“Sekiranya saudara Yan Ke masih tiada kawan berbangsa Melayu, saya sendiri sanggup menawarkan diri,” katanya


Terdahulu, menerusi video tular di media sosial, Yan Ke melakukan protes dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universitinya sejurus selepas menerima skrol ijazah.


Difahamkan dia berbuat demikian bagi membantah ucapan Naib Canselor UM, Dr Abdul Rahim Hashim ketika Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.


The post Graduan UM ‘meroyan’ didorong fahaman politik cauvinis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop