Expired : 18.06.18

Guan Eng dedah wajah sebenar pejuang ekstremis:


Oleh Siti Fatimah Ishak


BANGI, 30 Jamadilakhir 1440H, Khamis – Kenyataan berbaur hasutan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mendedahkan wajah sebenar pemimpin parti tamak haloba itu sebagai pejuang ekstremis, kata Ketua Pemuda Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Iqbal Hakim Abdul Razak.


Beliau berkata, sesiapa sahaja tidak boleh menerima hasutan Guan Eng, kononnya kerjasama antara UMNO dan PAS adalah isyarat ‘perang’ terhadap bukan Islam dan Melayu di negara ini.


“Apa motif Guan Eng sehingga tergamak membuat dakwaan sedemikian? Adakah budaya politik fitnah-memfitnah semakin tidak dapat ditahan lagi, sehingga terdesak ‘membisikkan’ kata-kata hasutan?


“Apakah kata-kata Guan Eng suatu ketika dahulu ‘I am not chinese, I am Malaysian!’ hanyalah retorik politik semata-mata?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mengulas lanjut, Iqbal berkata, semua sudah maklum bahawa kerjasama UMNO-PAS hanya menjurus kepada aspek penyatuan ummah, yang sama sekali tidak akan meminggirkan agama dan kaum lain.


“Ternyata, Guan Eng tidak dapat lagi membendung kebusukan hatinya lantas terdesak untuk mengeluarkan kenyataan bersifat ekstremis perkauman dan menjijikkan. 


“Inilah dia juga wajah sebenar pemimpin dan parti DAP yang sememangnya sejak dahulu lagi lebih cenderung kepada sifat rasis dan cauvinis,” katanya.


Sehubungan itu, beliau meminta seluruh rakyat Malaysia agar bertindak membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung DAP, supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera.


“Peguam Negara juga perlu bertindak mendakwa Guan Eng mengikut Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan yang menjurus ke arah wujudnya suasana tegang antara kaum dan memporak-perandakan keamanan Malaysia,” katanya.


The post Guan Eng dedah wajah sebenar pejuang ekstremis: appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop