Expired : 18.06.18

Guru wanita rugi lebih RM30,000 ditipu Macau Scam


KUCHING, 29 Safar 1440H, Rabu – Seorang guru wanita menjadi mangsa terbaharu Macau Scam, apabila kerugian RM31,600 selepas diperdayakan sindiket berkenaan, yang menyamar sebagai juruterbang.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa berusia 50 tahun diperdaya kenalan yang dikenali menerusi aplikasi Instagram.


Katanya, perkenalan itu berlangsung selama beberapa bulan, sehingga suspek memberitahu mahu menghantar hadiah bungkusan, namun mangsa diberitahu perlu membayar caj perkhidmatan berkaitan.


“Beberapa hari kemudian, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita memberitahu parcel itu telah sampai, maka dia perlu membayar sebanyak RM14,300 dan RM12,800 pada dua akaun bank berlainan.


“Bagaimanapun, setelah pembayaran dibuat mangsa diminta membayar bayaran untuk bunga harian berjumlah RM4,500 daripada sebuah syarikat penghantaran,” katanya seperti dilapor Utusan Online.


Mustafa Kamal berkata, mangsa turut dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai John Tsang, di mana dia juga beberapa kali mengugut untuk menghantar gambar lucah mangsa ke Facebook, jika suspek enggan melunaskan bayaran seperti yang dikehendaki ke syarikat itu.


“Kemudian pada 1 November dan semalam mangsa menerima mesej Whatsapp daripada syarikat itu mengandungi gambar lucah mangsa. Mangsa diminta membayar RM627,672.73 dalam tempoh seminggu jika tidak mahu gambarnya disebarkan,” katanya.


Mustafa berkata, setelah menyedari dirinya ditipu, mangsa tidak membuat bayaran seperti dituntut, dan melaporkan kejadian kepada pihak polis.



The post Guru wanita rugi lebih RM30,000 ditipu Macau Scam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop