Expired : 18.06.18

Habis Manis Sepah Dibuang… Kerajaan PH Selangor Tak Ikhlas Bantu Rakyat?

KUALA LUMPUR, 30 Nov – “Kepada penyokong Pakatan Harapan (PH) tak perlu menepuk air di dalam dulang yang ditatang selama ini… takut terpercik diri sendiri. Terimalah keputusan pemimpin pilihan anda.”


Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang melihat penjajaran semula peruntukan Program Air Percuma hanya berfokus kepada golongan sasar atas alasan golongan B40 ini lebih berkeperluan dan lebih menghargai bantuan air percuma ini.


Jelasnya, tindakan Kerajaan Selangor menaikkan jumlah air percuma daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan pada 2019 pada mulanya disambut dengan rasa syukur oleh rakyat Selangor, namun kegembiraan tersebut hanya dirasakan oleh rakyat Selangor dalam kalangan kumpulan B40.


“Tindakan yang diambil Kerajaan Negeri Selangor sebenarnya menyebabkan rakyat yang berpendapatan tinggi dan sederhana tertanya-tanya adakah subsidi air yang mereka terima selama ini tidak mereka hargai? Adakah pemberian subsidi air selama ini tidak ikhlas semata-mata hendak membeli jiwa dan undi?


“Sedangkan bukan golongan B40 sahaja menyokong secara bermati-matian Kerajaan Negeri Selangor sejak sepuluh tahun lalu. Semua golongan menengah dan sederhana turut mengundi dek kerana manifesto populis Pakatan Harapan (PH).”



Dilaporkan, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, pada 2019, jumlah yang diperuntukkan kepada Program Air Percuma selepas penjajaran dilakukan adalah sebanyak RM80 juta sekali gus membolehkan penjimatan sebanyak RM105.2 juta kepada kerajaan negeri.


Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata pada Julai lalu, pernah memberi amaran bahawa langkah Kerajaan Pusat meminjam dan membenarkan Kerajaan Negeri Selangor membeli SPLASH dengan harga 10 kali ganda lebih tinggi dari tawaran asal akan menjejaskan pemberian air percuma di Selangor.


“Kita di UMNO Bahagian Shah Alam tidak mahu berprasangka buruk dengan urusan pembelian tersebut, namun jika subsidi air untuk rakyat Selangor yang berada dalam golongan menengah dan sederhana ditarik balik hanya kerana pembelian tersebut, maka kita di bawah ini nilaikan sendiri sumbangan Kerajaan Negeri Selangor dengan konsep keadilan dan kesaksamaan tetapi bersikap habis manis sepah dibuang.


“Adakah disebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH mendominasi lebih 50 kerusi DUN maka Kerajaan Negeri sudah tidak menghargai sumbangan rakyat dalam kalangan golongan menengah dan sederhana yang dianggap mampu membayar 100 peratus bil air.


“Salahkah orang berada menerima subsidi sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri Selangor terhadap sokongan mereka selama ini?”


Bidasnya, jika Kerajaan Negeri Selangor boleh membayar harga SPLASH daripada RM250 juta pada asalnya kepada RM 2.55 bilion mengapa setakat penjimatan RM105.2 juta yang diuar-uarkan dianggap penjimatan mega.


“Namun nampaknya Bajet 2019 adalah bajet untuk Kerajaan dan pihak yang mendapat untung daripada pembelian SPLASH. Kepada rakyat yang tidak berpuas hati dengan bajet yang terlalu ‘bajet’ ini lahirkan bantahan secara aman.


“Mungkin selepas ini kadar tarif air dinaikkan bagi menampung kos pinjaman pembelian SPLASH.” – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop