Expired : 18.06.18

Hadir Himpunan Aman 812 Sabtu Ini, Tunjukkan Solidariti Pertahankan Asas Perlembagaan Negara

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Persoalan kenapa perlu hadir Himpunan Aman 812, Sabtu ini dijawab oleh dua orang pengamal undang-undang, Adnan Seman dan Mohd Fasha Musthafa yang sependapat bahawa himpunan terbabit adalah tanda untuk sama-sama bersolidariti bagi memberikan mesej kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah hari ini bahawa perkara-perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan.


Dua peguam yang menjadi ahli Panel Diskusi U3.0, ‘Himpunan 812 Kenapa Perlu Hadir’, menganggap perhimpunan terbabit adalah bahawa Perlembagaan negara tidak boleh diganggu gugat.


Bagi Mohd Fasha, beliau melihat himpunan pada 8 Disember ini adalah sebagai mesej kepada kerajaan hari ini bahawa cukuplah berpolitik dan laksanakan tanggungjawab serta jangan mengusik perkara-perkara asas Perlembagaan.


Tegasnya kerajaan seharusnya menyelesaikan dahulu manifesto-manifesto yang dijanjikan dan masih belum ditunaikan serta tidak perlu mengusik perkara-perkara asas kerana rakyat akan bangkit mempertahankan perkara-perkara berkenaan berdasarkan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Kita datang dengan simbol keamanan jadi kalau kita lihat semua mesej-mesej hari ini menegaskan himpun dengan aman damai serta tidak membuat perkara-perkara yang boleh menimbulkan kacau-bilau dan sebagainya.


“Jadi mesejnya jelas dan sekiranya ada kekacauan tentunya bukan daripada kalangan kita melainkan golongan tertentu yang mahu sabotaj. Dari segi undang-undang pada saya tidak perlu risau kerana kita adakan perhimpunan yang sah. UMNO juga ada menyediakan skuad peguam sekiranya ada perkara yang tidak diingini berlaku. Kita pesan datang dengan aman jangan buat provokasi dan perkara huru hara,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam Diskusi U3.0 yang dihoskan oleh Tun Faisal Ismail Aziz dan disiarkan menerusi facebook UMNO-Online.


Berhubung ICERD, Mohd Fasha seterusnya menegaskan apabila sudah diratifikasi ICERD mereka sudah ada legitimasi untuk menggerakkan gesaan bagi mengubah landskap dan sebagainya.


“Katakanlah kerajaan hari itu ratifikasi ICERD dengan membuat pengecualian perkara-perkara yang kononnya bertentangan perlembagaan tetapi percaya atau tidak dalam tempoh empat hingga lima tahun proses semakan bekalan sejagat yang mana setiap negara di dunia ini dibawah PBB akan dihadapkan di Geneva untuk semak hak asasi manusia. Pada ketika itu akan ada gesaan… dah ratifi ICERD, buang pengecualian itu tadi serta ratifi semuanya,” katanya.


Sementara itu Adnan pula melihat deklarasi hak asasi manusia sejagat yang berada di PBB adalah acuan barat.



“Acuan di PBB ini hak asasinya memberikan hak kebebasan beragama maknanya orang Islam juga boleh murtad tetapi ini bukan acuan kita…kita tidak bersetuju dan Perlembagaan kita pun tidak membenarkan. Acuan di sana pula adalah membenarkan hak kebebasan memilih pasangan maknanya lelaki boleh pilih lelaki dan wanita boleh memilih wanita, LGBT yang mana tidak juga berada di dalam kerangka Perlembagaan dan bukan acuan kita.


“Banyak lagi perkara-perkara yang kita tidak bersetuju dengan apa yang ada di dalam deklarasi hak asasi manusia sejagat,” ujarnya.


Katanya apabila disebut deklarasi hak asasi manusia seolah-olah ianya seumpama benda yang murni.


“Apabila bercanggah dan tidak bersetuju dengan hak asasi maknanya seolah-olah ini jahat… tidak… kerana hak asasi yang mereka perjuangkan itu tidak selari dengan apa yang ada di dalam Perlembagaan yang merupakan norma-norma masyakat kita, norma-norma masyarakat timur dan negara itu sendiri,” tegasnya.


Tegasnya lagi Perlembagaan negara amat istimewa dan ianya unik di mana ianya mempunyai struktur asas malah begitu cantik dalam kerangka negara. – MediaUMNO


Norlida Ishak Shop