Expired : 18.06.18

Hafizh sertai Sepang Racing Team

PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah sah menyertai Sepang Racing Team pada perlumbaan 8 Jam Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) FIM bermula 13 hingga 15 Disember depan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).


Hafizh akan bergandingan bersama pelumba PETRONAS Yamaha SRT serta bekas juara dunia Moto2, Franco Morbidelli serta juara perlumbaan 8 Jam Suzuka, Michael van der Mark.


"Saya tidak sabar untuk beraksi dalam perlumbaan EWC yang kali pertama dianjurkan di Malaysia.


Ia bukanlah kali pertama saya beraksi dalam perlumbaan endurance kerana pernah menyertai perlumbaan 8 Jam Suzuka sebelum ini.


"Tapi suasananya pasti berbeza apabila beraksi di depan penyokong sendiri.


Ia peluang terbaik untuk saya menguji ketahanan fizikal saya kerana perlumbaan itu berlangsung agak lama dengan cuaca panas.


"Paling penting ialah bagaimana kami bekerjasama sebagai sebuah pasukan.


"Saya akan cuba menggalas tugas ini dengan sebaik-baiknya bersama gandingan pelumba lain yang cukup berkaliber," katanya.


Bakal menggunakan jentera Yamaha YZF-R1 dengan sokongan pasukan yang pernah memenangi Kejuaraan Endurance Dunia, Yamaha Austria Racing Team (YART), Sepang Racing Team diletakkan sasaran tinggi untuk meraih podium.


"Kami meletakkan keyakinan tinggi kepada Morbidelli, Van de Mark, Hafizh serta YART untuk meraih keputusan terbaik. Kami meletakkan sasaran penamat podium," kata prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali.


Norlida Ishak Shop