Expired : 18.06.18

Haji Ariffin Alias: Pengasas PAS Johor



ENSIKLOPEDIA PAS 2019


Siri 2⃣


HAJI ARIFFIN ALIAS: PENGASAS PAS JOHOR




JOHOR adalah sekutu Daulah Othmaniyah pada zaman pemerintahan Maharaja Abu Bakar (1886-1895M). Hubungam baik Johor dengan Khalifah Islam itu telah memberikan kedudukan yang positif kepada perkembangan Islam di negeri itu pada abad ke-20. Sebagai sebahagian daripada Empayar Melayu Johor-Riau sebelumnya pula, telah membolehkan perkembangan gerakan Islam di Pulau Penyengat dan Singapura turut berkembang di Johor. Ketika Raja Ali Kelana dan Syed Shiekh al-Hadi menubuhkan Jam’iyah ar-Rushidiyah di Pulau Penyengat pada 1880, Johor adalah antara negeri terawal menerima pengaruhnya. Pada dekad kedua 1900, Johor telah menerima kedatangan tokoh reformis seperti Syed Sheikh al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin. Sebelum itu, Johor telah menerima pengaruh gerakan Islam dari Singapura, apabila beberapa pertubuhkan Islam telah muncul sejak 1890-an seperti Persekutuan Darul Adab, Persekutuan Darul Takzim dan Persekutuan Islam Singapura. Adapun persatuan orang Islam yang pertama muncul di Johor Bahru ialah Persekutuan Keharapan Belia pada 1916, diikuti oleh Persekutuan Perbahasan Orang-orang Islam di Muar pada 1919. Pada akhir 1920-an, Sarekat Islam dari Jawa telah melebarkan sayapnya ke Johor.


Perkembangan ini telah meletakkan Johor sebagai sebuah negeri yang berpotensi terhadap kebangkitan Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, pergerakan Islam di Johor telah berkembang melalui penubuhan cawangan Hizbul Muslimin pada 17 April 1948, diikuti oleh penubuhan cawangan PAS pada 19 Mac 1954. Tokoh utama yang memotori pergerakan kedua-dua parti Islam di Johor ini ialah Haji Ariffin Haji Alias, seorang jurutera awam dari Johor Bahru. Beliau telah memainkan peranan besar dalam perkembangan gerakan Islam di selatan Semenanjung Tanah Melayu melalui penubuhan badan-badan tersebut, termasuk berjaya menarik tokoh-tokoh politik Johor kepada pergerakan Islam. Antara tokoh besar Johor yang turut dilibatkan ialah Datuk Abdul Rahman Mohd Yassin (ayah Tun Dr Ismail, bekas TPM), Datuk Yaakub Hitam (abang Tun Musa, bekas TPM), Dr Burhanuddin al-Helmy (bekas Yang Dipertua PKMM) dan Ibu Khatijah Sidek (bekas Ketua Kaum Ibu Umno). Penglibatan tokoh-tokoh ini dalam Hizbul Muslimin dan PAS di Johor adalah berkait rapat dengan peranan Haji Ariffin Alias.


Hijrah dari Jawa ke Johor


Haji Ariffin bin Alias, seorang anak Jawa yang telah dilahirkan dalam sebuah keluarga ulamak di Kampung Ayam, Johor Bahru dalam tahun 1899. Ayahnya, Haji Alias bin Mohamad Hassan (Jaya Munawi) bin Haji Hassan (Embah Jaya Wangsa) bin Jaya Niman adalah seorang pak kiyai yang berasal dari Kampung Mengkawa, Begelen, Jawa sebelum berhijrah ke Johor. Moyangnya, Embah Jaya Wangsa dianggap seorang yang memiliki karamah oleh masyarakat Jawa di Begelen. Pada abad ke-19, orang-orang Jawa datang ke Singapura dan Johor untuk memudahkan pergerakan haji ke Mekah. Haji Alias meninggalkan isteri pertamanya, Sharifah kerana datang ke Johor Bahru untuk bekerja, kemudian berkahwin lagi dengan Mariam Tuminah dari Tampoi. Mereka dikurnia tujuh anak, termasuk Ariffin. Haji Alias meninggal dunia pada 1923 dalam usia 107 tahun. Di samping mendapat pendidikan agama dengan ayahnya, Haji Ariffin juga belajar di Sekolah Melayu Kampung Ayam. Kemudian melanjutkan pengajian yang lebih tinggi di Johor Bahru dan Singapura sehingga berkelayakan sebagai jurutera awam ( civil engineer).


Dengan latar belakang pendidikan yang baik, Ariffin diterima bekerja dengan Kerajaan Johor. Antara jawatan yang pernah dipegang oleh beliau dalam perkhidmatan awam Johor ialah sebagai Financial Assistant di Audit Office, Johor Bahru, tetapi jawatan terakhir beliau ialah Jurutera Negeri. Haji Ariffin yang pada awalnya tinggal di Jalan Yusof Taha, Johor Bahru telah mendirikan rumah tangga dengan Wan Fatimah Wan Chik dan memperolehi 11 orang anak iaitu Jalaluddin, Ismail, Abu Hanifah, Ahmad (ayah Abdul Razak), Salim, Abdul Hamid, Hamzah, Md Tahir, Abdul Salam, Abdul Rashid dan Maimunah. Salah seorang cucu beliau yang terkenal ialah Abdul Razak Ahmad, bekas pemimpin Parti Rakyat Malaysia (PRM), yang kemudiannya menjadi Pengerusi PKR Johor. Selepas bersara, Haji Ariffin telah berpindah ke No. 25, Jalan Yahya Awal, Larkin, Johor Bahru dan meninggal dunia di sana pada usia 60 tahun pada 13 Oktober 1958.


Haji Ariffin dan pergerakan politik Islam


Sebagai seorang yang terpelajar dan mempunyai pendedahan yang luas terhadap politik semasa, Haji Ariffin adalah antara tokoh politik Islam yang paling menonjol di Johor kala itu. Penglibatan awal beliau bermula pada pertengahan 1920-an, ketika masih lagi bertugas di Audit Office, Johor Bahru. Pada 1921, pemimpin Ahmadiyah Lahore (pecahan Qadyani) telah datang ke Singapura dari London. Dia telah menubuhkan Anjuman-i-Islam (Persatuan Islam) yang dianggotai oleh orang-orang Islam berketurunan India. Sebagai sebuah pertubuhan Islam yang progresif, beberapa tokoh Melayu seperti Pendita Za’ba, Abdul Rahman Mohd Yassin (Land Officer, Johor), Dr Pandak Ahmad Alang Sidin (Hospital Seremban), Dato’ Megat Lela Diraja (Setiausaha MAIK, Kelantan), Zain Mahmud (Inspektor Sekolah Melayu Pulau Pinang) dan lain-lain turut menjadi ahli persatuan ini. Haji Ariffin yang tertarik dengan sikap progresif persatuan ini turut menjadi ahli sekitar 1926, tetapi beliau kemudiannya tidak aktif setelah menyedari persatuan menjadi alat penganut Qadiyani di Singapura.


Setelah pergerakan politik terhalang oleh Perang Dunia Kedua, Haji Ariffin terlibat dalam pergerakan politik kiri, walaupun beliau lebih cenderung dengan politik Islam. Pada awalnya, beliau terlibat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy sejak 1945. Setelah badan-badan politik kiri Melayu seperti PKMM, Angkatan Pemuda Insan (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS) bergabung menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang diketuai Dr Burhanuddin al-Helmy pada 1947, Haji Ariffin dilantik sebagai Yang Dipertua PUTERA Johor. Dengan kedudukan ini, Haji Ariffin mempunyai kedudukan polituk yang setaraf dengan Dato’ Abdul Rahman Mohd Yassin selaku Yang Dipertua Persatuan Melayu Johor (PMJ) dan Abdullah Taib, Yang Dipertua Lembaga Kesatuan Melayu Johor (LKMJ). Kedudukan ini digunakan oleh Haji Ariffin untuk mempengaruhi Dato’ Abdul Rahman untuk menyokong Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) yang ditubuhkan pada 1947, setelah Dato’ Abdul Rahman berkrisis dengan Dato’ Onn Jaafar, Yang Dipertua Agung Umno ketika itu. Sebelum ini, Haji Ariffin adalah ahli LKMJ yang dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa lembaga itu.


Peranan besar Dr Burhanuddin al-Helmy terhadap pergerakan politik Islam di Gunung Semanggol telah membawa Haji Ariffin terlibat dengan gerakan itu pula. Kejayaan para ulamak yang bersidang di Gunung Semanggol pada 24 Mac 1947 untuk menubuhkan MATA telah menyebabkan Haji Ariffin berusaha mewujudkan pergerakan MATA di Johor. Pada 16 Julai 1947, Ustaz Abu Bakar al-Baqir telah berkunjung ke Johor Bahru untuk menubuhkan MATA Johor. Haji Ariffin dilantik sebagai Ketua MATA dan rumahnya di Jalan Yahya Awal, Larkin dijadikan pejabat MATA untuk Selatan Tanah Melayu. Pertemuan pertama yang dibuat di Rumah PMJ ini telah dihadiri oleh Dato’ Abdul Rahman Mohd Yassin, Abdullah Taib, Syed Mohamad al-Edrus, (Tun Dr) Ismail Abdul Rahman dan lain-lain, sehingga MATA Johor berhasil ditubuhkan. Turut ditubuhkan ialah sayap pergerakan ekonomi Melayu, Pusat Perekonomian Melayu Se-Malaya (PEPERMAS). Haji Ariffin adalah ahli MATA dan PEPERMAS.


Sebagai pemimpin MATA, Haji Ariffin hadir dalam Persidangan MATA di Gunung Semanggol pada 14 Mac 1948. Tetapi beliau tidak mewakili MATA Johor, sebaliknya sebagai wakil LKMJ dan turut berucap mewakili umat Islam Johor dalam persidangan tersebut. Persidangan ini telah berjaya menubuhkan parti Islam pertama, Hizbul Muslimin. Dalam persidangan ini, pada awalnya, Haji Ariffin telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penggubal Undang-undang Tubuh Hizbul Muslimin, tetapi kemudiannya dilantik pula sebagai Ketua Satu Hizbul Muslimin. Sedangkan Ustaz Abu Bakar al-Baqir dilantik menjadi Ketua Umum, manakala Cikgu Daud Jamil dari Kelantan sebagai Ketua Dua. Dua tokoh dari Johor yang turut dilantik ialah Yaakub Hitam sebagai Penulis Satu (Setiausaha) dan Dr Ismail Abdul Rahman (kemudian TPM) sebagai Ahli Jawatankuasa. Setelah Hizbul Muslimin mulai berkembang, Haji Ariffin telah berjaya menubuhkan Hizbul Muslimin Johor pada 17 April 1948, di mana beliau sendiri dilantik sebagai Ketua Hizbul Muslimin Johor. Selain itu juga, Haji Ariffin turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Universiti Hang Tuah, universiti Melayu yang ditubuhkan oleh Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR), iaitu sayap pendidikan Hizbul Muslimin. Hizbul Muslimin kemudiannya bersetuju menjadikan rumah Haji Ariffin di Jalan Yahya Awal sebagai pejabat parti itu untuk daerah selatan Semenanjung.


Mengasas dan memimpin PAS Johor


Haji Ariffin yang tidak sebulu dengan perjuangan Umno tidak terlibat dalam penubuhan PAS. Tetapi selepas Dr Haji Abbas Alias memimpin PAS, beliau telah menyertai PAS pada awal 1954 dan berusaha menubuhkan cawangan PAS di Johor. Pada 19 Mac 1954, PAS Cawangan Johor Bahru telah berjaya ditubuhkan dengan Haji Ariffin sebagai Yang Dipertua, Othman Abdullah sebagai Setiausaha dan Yusof Abdul Rahim sebagai Bendahari, di samping lapan ahli jawatankuasa yang lain. Menurut Haji Mohd Said Abdul Hadi, kebanyakkan ahli PAS di Johor Bahru ketika ini ialah para imam, ustaz-ustaz, kakitangan kerajaan dan buruh sehingga berjumlah 200 orang. Pada Ogos 1954, Haji Ariffin telah dilantik pula sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS oleh Dr Haji Abbas. Beliau bersama Pesuruhjaya PAS Johor yang pertama, Haji Mohd Said Abdul Hadi telah berusaha menubuhkan cawangan-cawangan PAS di Johor sehingga tertubuhnya PAS Cawangan Benut dan PAS Cawangan Sungai Balang, Muar dalam tahun 1954 itu.


Untuk mengukuhkan PAS Johor Bahru, Haji Ariffin melalui cawangannya telah melantik Dr Burhanuddin al-Helmy sebagai Ahli Kehormat PAS Johor Bahru pada 23 April 1954. PAS Johor Bahru kemudiannya menjadikan rumah Haji Ariffin di Jalan Yahya Awal, Larkin sebagai pejabatnya dan menganjurkan ceramah PAS pertama di Johor di rumah itu dengan menjemput Setiausaha Agung PAS, Ustaz Othman Abdullah berceramah. Pada 1956, Haji Ariffin telah dilantik pula sebagai Pesuruhjaya PAS Johor yang kedua oleh Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy. Beliau memegang jawatan ini dua sesi antara 1956 hingga 1958. Ketika beliau memimpin PAS Johor, Umno telah memecat Ketua Kaum Ibunya, Khatijah Sidek. Beliau mempelawa tokoh wanita itu menyertai PAS Johor Bahru sehingga Ibu Khatijah Sidek kemudiannya dilantik sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat pada 1958. Ketika sedang memimpin PAS Johor, Haji Ariffin telah meninggal dunia pada 13 Oktober 1958 dan Ibu Khatijah Sidek dilantik menggantikan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Johor ketiga.


Mohd Fadli Ghani

Institut al-Balaghul Mubin

7 Zulkaedah 1440 / 9 Julai 2019


The post Haji Ariffin Alias: Pengasas PAS Johor appeared first on Berita Parti Islam Se Malaysia (PAS).


Norlida Ishak Shop