Expired : 18.06.18

Hakikat Sebuah Logo Plagiat

Gambar sekadar hiasan. Artikel tidak mewakili logo pasukan seperti didalam gambar.

Masih ada setahun lagi sebelum masa menginjak ke tahun 2020, namun arena bola sepak tempatan masih diselubungi isu keaslian membabitkan transformasi logo baharu persatuan bolasepaknya dengan cara yang kurang memuaskan hati ramai pihak terutama membabitkan jiwa para penyokongnya.



Jika sebelum ini Kedah dan Pahang serta beberapa lagi pasukan terpalit dengan isu ini, kini para penyokong Singa Utara pula terkesan dengan pengumumun logo baharu yang dibuat Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA),Datuk Ahmad Amizal ketika perlawanan persahabatan bertemu Pulau Pinang di Kangar pada Jumaat (28 Dis 2018)


Kecantikan logo sudah tentu menjadi topik hangat untuk dibicarakan di laman sosial serta di warung kopi. Selain itu keaslian logo juga nyata boleh dipertikaikan kerana sekali imbas ketika melihat logo baharu tersebut, akan membuatkan yang melihat teringat tentang perkara yang lain. Apa tidaknya, transformasi yang dicanangkan sebenarnya lebih kepada gejala plagiasrisme logo ataupun jenama yang lain.


Dalam bahasa pasar terkininya lebih dikenali sebagai ‘logo Google’


Daripada kaca mata Fitri Roslan yang berkhidmat didalam bidang Pemasaran & Penjenamaan terutama membabitkan bidang sukan, beliau melihat isu ini dengan mendalam apabila menyatakan rekaan logo cantik atau tidak itu merupakan hal subjektif untuk dinilai, tetapi fokus utama lebih kepada keaslian sesebuah logo itu yang bakal menentukan kehebatan logo tersebut.


Fitri yang pernah terlibat dalam penjenamaan semula logo Liga Malaysia 2012 dan Sepak Takraw League (STL) turut menambah,


“Sebab itu penyelesaian terbaik apabila melakukan penjenamaan projek adalah dengan melantik agensi ataupun individu yang layak. Tidak semua pereka mampu mereka apa yang dikhendaki pelanggan. Pereka juga seperti chef yang mana setiap daripadanya mempunyai pengkhususan masing-masing. Tidak semua pereka mempunyai gambaran terbaik dalam mereka cipta berkaitan sukan. Apabila tidak mempunyai gambaran terbaik, mereka akan mengambil jalan mudah sekaligus gagal menyampaikan keaslian itu dengan 100 %”


Sudah pasti apabila berbicara soal keaslian itu sangat penting seandainya mahu menuju ke peringkat lebih tinggi selari dengan usaha pihak Malaysia Football League (MFL) dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Ini berkait rapat memandangkan nilai akan meningkat daripada segi jenama atas faktor keaslian, identiti dan juga personaliti logo atau jenama itu sendiri.


Daripada bangku tempat duduk penyokong pula, mereka amat kecewa dengan kerja sambil lewa pihak pengurusan bola sepak yang memandang rendah mengenai hasil logo yang ditransformasikan. Seorang penyokong yang sempat ditemubual, Fitrie Fudzi menyatakan logo yang dibuat menampakkan sikap pengurusan langsung tidak tahu etika mengenai harta intelek dan tidak menghargai bakat para pakar grafik di negara ini.


Mengambil contoh logo terbaharu PFA, Fitrie memberitahu beliau lebih cenderung kepada logo lama persatuan bola sepak itu kerana ianya mempunyai identiti Perlis terutama pada simbol padi. Tambah beliau lagi, bola sepak tempatan lebih berunsurkan kenegerian makanya lebih sesuai logo persatuan bola sepak mengambil kira unsur-unsur yang terdapat pada jata negeri masing-masing.


“Logo Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan sama seperti dengan jata kerajaan Negeri Sembilan tetapi menukarkan keris sebagai simbol kepahlawanan. Melaka pula tidak lupa dengan identiti A Famosa mereka dalam logo bola sepak persatuan. Kelantan juga tidak ketinggalan dengan meletakkan Sang Kijang dalam logo bola sepak mereka seperti mana yang terdapat dalam jata kerajaan negeri Kelantan” ujar Fitrie lagi.


Berbalik kepada isu logo yang lebih bersifat plagiasrisme berbanding transformasi, kita tidak dapat mengelak berbicara daripada sudut perundangan negara apabila berbicara soal harta intelek terutamanya. Bagi pengamal undang-undang, Azura Adnan, pengambilan, pengeluaran dan penggunaan semula imej daripada internet untuk dijadikan sebagai logo untuk sesuatu organisasi merupakan suatu 'idea yang kurang bijak'.


Azura menjelaskan bahawa hakcipta sesuatu karya merupakan suatu hak ekslusif di bawah undang-undang tanpa mengira kualiti dan tujuan karya dihasilkan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7 Akta Hakcipta 1987.


'Sebarang penggunaan sesuatu karya perlu mendapatkan kebenaran dan keizinan daripada pemilik asal karya tersebut. Penggunaan dan pengambilan karya tanpa kebenaran adalah dianggap pelanggaran hakcipta di bawah Seksyen 36 Akta Hakcipta 1987. Ia memberikan kesan yang serius di mana pemilik asal karya hakcipta tersebut boleh mengambil tindakan undang-undang sivil dan juga jenayah. Akibatnya, penciplak dan pengambil karya tersebut terpaksa menanggung tuntutan gantirugi pemilik asal karya', katanya lagi.


Berbalik semula kearah kerusi penyokong, seorang lagi penyokong yang sudi berkongsi pandangannya, Farzli Adenan berkata penyokong bukanlah zalim sehingga tidak mahukan langsung perubahan seperti logo persatuan ini memandangkan kelab-kelab Eropah juga bersedia dan sudahpun melakukan perubahan yang diterima peminatnya.


Namun, biarlah perubahan itu bukan sekadar melepaskan batok ditangga. Hasil kerja perlu berkualiti dan mengambil masa dan turut sama melibatkan peminat untuk dinilai. Farzli memberikan contoh seperti mana pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang pernah mengadakan peraduan mereka jersi dan memberikan peminat ruang untuk memilih sekaligus ianya merupakan keputusan majoriti peminat sendiri.


Farzli yang mewakili kelab Penyokong Setia Hijau Kuning (PSHK) turut menyatakan,


“Sekiranya benar-benar mahu menukar logo, silakan. Mungkin tidak mengubah 100 peratus struktur logo asal dengan melakukan sedikit pengubahsuaian untuk kelihatan masih segar dan mempunyai kesinambungan dengan sejarah terdahulu dan sekarang”


Tuntasnya, sama ada suka atau tidak, satu penyelesaian yang memuaskan hati setidak-tidaknya majoriti pihak perlu dicapai apabila membabitkan soal logo yang berkait rapat tentang identiti pasukan. Dalam masa yang sama kita tidak dapat lari daripada hakikat bola sepak kini berevolusi berteraskan perniagaan.


Pihak pengurusan mungkin mahu melakukan sesuatu yang baharu untuk meningkatkan nilai daripada pandangan mereka mengurus pasukan sementara penyokong mahukan logo yang mewakili pasukan yang dicintai punya sesuatu yang boleh dibanggakan.


Logo bukanlah sekadar sebuah logo, ianya lebih daripada itu.


Teks: Mohamad Asyraaf / www.gawang.my


 


 


 


 


 


Norlida Ishak Shop