Expired : 18.06.18

Hakim perintah Najib hadir

KUALA LUMPUR, 23 Safar 1440H, Khamis – Datuk Seri Najib Razak perlu menghadiri setiap prosiding mahkamah, termasuk pengurusan kes, bagi semua pertuduhan yang dihadapinya, demikian diputuskan Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.


Bekas perdana menteri itu berdepan dengan tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna jawatan dan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd.


Hakim Mohd Hazlan Mohd Ghazali berkata, tertuduh (Najib) perlu hadir di mahkamah bagi membolehkan beliau mengikuti prosiding kesnya.


“Saya fikir dia (tertuduh) perlu berada di sini (mahkamah), jika perkara itu tidak dipertikaikan, maka mahkamah boleh mempertimbangkan. Sekurang-kurangnya tertuduh boleh terus mengikuti prosiding itu,” katanya.


Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas menolak permohonan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, supaya anak guamnya dikecualikan daripada menghadiri pengurusan kes yang ditetapkan pada 29 November ini.


Peguam itu meminta mahkamah mengecualikan anak guamnya daripada menghadiri prosiding akan datang kerana pada kebiasaannya pengurusan kes hanya membabitkan pihak pendakwa dan peguam.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Sulaiman Abdullah, yang dilantik oleh Jabatan Peguam Negara untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan jenayah Najib, menegaskan bahawa bekas perdana menteri itu harus hadir untuk prosiding terhadapnya.


“Secara peribadi, saya rasa dalam kes kepentingan seperti ini, tertuduh wajib hadir. Kami tidak menerima sebarang arahan untuk ini… ini pendapat saya tetapi menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.


Terdahulu, Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan 29 jilid dokumen berkaitan kes itu mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pihak pembelaan pada 18 Oktober lalu.


Peguam Harvinderjit Singh, yang turut mewakili Najib, bagaimanapun, berkata pihak pembelaan masih belum menerima kenyataan yang dirakamkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada semua saksi.


Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sama (29 November) untuk mendengar notis usul oleh pihak pembelaan berhubung penghantaran dokumen SPRM.


Dalam isu berasingan, Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menghantar permohonan kepada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim supaya kes itu didengar di Istana Kehakiman di Putrajaya.


“Pada masa ini, kami sedang menunggu keputusan Hakim Besar Malaya,” katanya.


Bagaimanapun, pihak pembelaan membantah permohonan itu.


Najib, 65, bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor masuk ke bilik mahkamah pada jam 3.15 petang untuk mengikuti prosiding dari galeri awam. – Bernama


The post Hakim perintah Najib hadir appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop