Expired : 18.06.18

Halim mahu cipta rekod baharu di Indonesia

PELUMBA kereta Gymkhana negara, Abdul Halim Abdullah mahu melakar sejarah tersendiri pada Asia Auto Gymkhana Championship (AAGC) di Yogyakarta, Indonesia bermula 12 Julai ini.


Pelumba berpengalaman kelahiran Terengganu berusia 48 tahun yang terpilih mewakili negara bersama dua lagi pelumba, Vava Loh dan Ow Yeong San San juga mahu mencipta rekod lebih baik dalam acara berpasukan pada kejohanan itu nanti.


Pada kejohanan sama dua tahun lalu, Abdul Halim yang mula berjinak dalam sukan perlumbaan kereta bermula 2003 berada pada kedudukan ke-13 daripada 38 pelumba di Asia manakala dalam acara berpasukan, pelumba yang juga beraksi dalam acara trek itu berada pada kedudukan ketiga.


"Biarpun bakal berdepan dengan cabaran daripada pelumba tuan rumah, Indonesia serta pelumba handalan negara lain termasuk Singapura, Thailand, Jepun, Korea Selatan, India, Sri Lanka dan Taiwan, saya tidak gentar.


"Saya akan cuba memperbaiki catatan dua tahun lalu untuk berada pada kelompok 10 terbaik dalam acara individu manakala kedudukan dua terbaik bagi kategori berkumpulan.


Ini kali kedua saya terpilih dalam kejohanan ini," ujar bekas juara kejohanan Gymkhana GXP 2016 di Thailand.


Abdul Halim berkata, bagi memastikan dia mampu menjadi pencabar utama pada kejohanan itu nanti, dia bersama rakan sepasukannya, Roazri Mustafa, 43, mahu memastikan kejohanan Malaysia Speed Festival (MSF) bermula Ahad ini di Litar Sepang, Selangor bukan sekadar 'pemanas badan'.


"Impian saya mahu memperbaiki rekod dalam kejohanan MSF itu selepas berada pada kedudukan keenam sebelum beraksi di Indonesia Jumaat depan," jelas Abdul Halim.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berharap Abdul Halim pulang dengan kejayaan.


"Sebagai sebuah negeri yang meletakkan sukan sebagai kuasa utama negara, kita harap dia mencapai kejayaan dan kita akan memberi bantuan bagi melancarkan lagi perjalanan pelumba itu supaya terus cemerlang sekaligus mampu menaikkan nama Terengganu dalam sukan yang mencabar itu.


"Kita harap kejayaan dan pencapaian Abdul Halim itu dapat menjadi inspirasi dan ikon kepada anak muda yang lain untuk terus cemerlang dalam sukan permotoran itu," katanya.


Norlida Ishak Shop