Expired : 18.06.18

Hapus ‘orang tengah’, monopoli dalam pengeluaran makanan


Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 10 Syaaban 1440H, Selasa – Kewujudan ‘orang tengah’ dan monopoli dalam pengeluaran makanan perlu dihapuskan segera, sebagai langkah mengurangkan beban kenaikan harga barang yang terpaksa ditanggung rakyat ketika ini.

Ketua Jawatankuasa Ekonomi Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Muhammad Thalhah Kamarol Zaman berkata, kerajaan juga perlu mengkaji semula rantaian pengeluaran makanan di negara ini, supaya ia boleh dipendekkan bagi mengelakkan kenaikan kos berganda.

Merujuk titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini, beliau berkata, tindakan segera perlu diambil oleh pihak kerajaan untuk mengesan punca kenaikan harga barang makanan.

“Teguran Sultan Nazrin terhadap kenaikan harga barang makanan dalam Titah Diraja Pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada hari ini perlu diambil serius, terutamanya oleh pihak kerajaan.

“Titah Sultan Nazrin ini perlu diambil berat oleh pihak kerajaan dan satu dasar keselamatan makanan negara perlu segera dilaksanakan dan dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bertitah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini, Sultan Nazrin mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) segera merangka langkah-langkah strategik untuk menangani peningkatan kos bahan makanan.

Baginda bertitah, langkah-langkah strategik tersebut wajib memberi keutamaan terhadap peranan penting serta keperluan kritikal sektor pertanian.

Titah baginda, daripada 15 juta pekerja di Malaysia, hanya 1.8 juta terlibat dalam sektor pertanian dan perangkaan itu amat membimbangkan bagi negara yang mempunyai 32 juta penduduk seterusnya diunjur meningkat 36 juta pada 2030.

Mengulas lanjut, Muhammad Thalhah berkata, keseluruhan sektor pertanian negara memerlukan perubahan dasar segera untuk meningkatkan produktivitinya.

Bahkan, katanya, kebajikan petani dan peladang juga perlu dirangka dengan terperinci, sekiranya perubahan dasar membabitkan pengurangan harga bahan mentah.

“Tindakan kerajaan PH menarik pelbagai jenis insentif petani, peladang dan nelayan dalam Bajet 2019 adalah ternyata tindakan yang tidak bijak. Insentif serta bantuan ini perlu dikembalikan semula.

“Insentif dan bantuan ini hanya boleh ditarik sekiranya kerajaan mempunyai polisi secara menyeluruh untuk membantu menaikkan semula pendapatan sektor pertanian negara.

“Namun jelas sekali Bajet 2019 yang lalu langsung tidak mempunyai penekanan terhadap sektor premier negara, malah pelbagai peruntukan Felda juga turut ditarik,” katanya.


The post Hapus ‘orang tengah’, monopoli dalam pengeluaran makanan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop