Expired : 18.06.18

Haram bertatu

1. UMAT Islam khususnya anak-anak muda diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan budaya-budaya asing dari ajaran Islam seperti bertatu


2. Penganjuran Tatto Malaysia Expo 2019 yang berlangsung pada 29 November 2019 sehingga 1 Disember 2019 , disertai peserta dari 35 negara adalah sangat tidak wajar berlaku di negara ini, kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam dan bukanlah budaya yang diterima di negara ini.


3. Pihak kerajaan wajib memandang serius perkara ini supaya ia tidak berulang pada masa akan datang.


4. Dari sudut sejarahnya, tatu dipakai dengan alasan tersendiri. Bangsa Yunani kuno memakai tatu sebagai identiti pasukan perisikan mereka.


Tatu menunjukkan pangkat mata-mata itu. Berbeza dengan bangsa Romawi yang menggunakan tatu sebagai tanda bahawa seseorang itu berasal dari golongan hamba.


5. Secara umum, dapat disimpulkan bahawa tatu dalam sejarah awalnya lebih dianggap sebagai sesuatu keperluan yang primer daripada fungsinya sebagai ekspresi seni.


6. Namun pada hari ini, masyarakat cuba diajak melihat tatu sebagai sebahagian dari seni (Part of Art).


7. Penggemar paling ramai terhadap tatu dilakukan oleh kelompok remaja. Misalnya komuniti Punker dan Rocker.


Bagi masyarakat barat, selain mampu berkreativiti dan menjadi ekspresi seni, tatu dibuat untuk menunjukkan identiti kelompok. Ia juga sebagai simbol budaya tanding (counter culture), iaitu budaya yang dikembangkan oleh generasi muda, sebagai tindakbalas perjuangan melawan pengawasan kelompok dominan di kalangan orang tua, kalangan masyarakat elit, norma sosial yang ketat, dan sebagainya.


8. Pengharaman tatu di dalam Islam jelas menerusi hadis Rasulullah ﷺ : Allah melaknat perempuan-perempuan yang mentatu dan yang minta ditatu, yang mencabut atau mencukur rambut (bulu kening), dan yang mengasah giginya untuk memperindah. Iaitu perempuan-perempuan yang mengubah ciptaan Allah.”(HR al Bukhari)


9. Dari sudut sosio-historis semasa hadis itu muncul dapat difahami dari komentar Ibn Hajar al-’Asqalānī dalam Fath al-Bārī bi Syarh al-Bukhārī sebagaimana berikut :


“al-Wāsyimāt adalah plural dari kata Wāsyimah yang bermaksud orang yang mentatu, sedang al-Mustausyimāt adalah plural dari kata Musytausyimah, yang bermaksud orang yang meminta ditatu.


Pakar bahasa (Arab)mengatakan : al-Wasym adalah menusukkan jarum atau benda lain (yang sepertinya) ke salah satu anggota tubuh sampai keluar darah, kemudian diberi sesuatu hingga berwarna hijau.


Imām Abū Dāwūd dalam Sunan-nya menyebutkan: al-Wāsyimah adalah orang yang membuat tanda di wajahnya dengan pewarna ataupun dakwat. Penjelasan ini menunjukkan proses membuat tatu zaman sekarang seperti juga yang berlaku di zaman Nabi Muhammad ﷺ.


Pengharaman ini dibuktikan oleh firman Allah dalam al –Nisā’ ayat 119 yang bermaksud :

“Dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka mengubahnya. Barangsiapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.”


Dalam tafsir Aisar al-Tafāsīr, Ibn Jauzī, dan al-Tsa’labī berpendapat bahawa makna kalimat mengubah ciptaan Allah salah satunya adalah dengan mentatu.


10. Umat Islam khususnya remaja wajib mempertahankan identiti keislaman dan tidak terpengaruh dengan budaya-budaya liar ini.


Sahibus Samahah

Datuk Haji Zamri Hashim

Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia

ISMA Cawangan Ipoh



Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.


The post Haram bertatu appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop