Expired : 18.06.18

Harap bersalin 2.2.2020

PENGUMUMAN bakal menimang cahaya mata perempuan pada Februari depan benar-benar mengejutkan suami pelakon Amyra Rosli iaitu Amar Baharin.


Dalam satu majlis di sebuah restoran di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini , Amyra membuat kejutan istimewa terhadap suami yang menyangka kehamilan kali kedua turut dikurniakan anak lelaki.


Bagaimanapun, rahsia yang disimpan selama dua bulan itu akhirnya dibongkar Amyra kerana sudah tidak dapat menyimpan berita gembira itu daripada pengetahuan suami.


“Ibu dan adik saja yang tahu saya bakal melahirkan cahaya mata perempuan untuk anak kedua ini.


“Ketika doktor mengesahkan jantina anak kali ini, mulut memang ringan nak beritahu Amar lebih awal, tapi saya terpaksa tunggu sehingga majlis pengumuman jantina anak diadakan bagi memberi kejutan kepadanya.


“Amar benar-benar terkejut dengan pengumuman ini kerana dia bermati-matian ingat kehamilan kedua ini adalah anak lelaki,” katanya.


Kehadiran cahaya mata perempuan sememangnya menjadi impian Amar dan Amyra kerana ia turut menjadi impian setiap pasangan yang berkahwin.


“Ketika kami sekeluarga menunaikan umrah tahun ini, antara doa yang sering kami pohon adalah dikurniakan anak perempuan.


“Namun, jika anak yang bakal dilahirkan adalah lelaki, saya berharap dia sihat dan sempurna. Kami memang mahukan anak perempuan sebab dapat sepasang dan ia diimpikan setiap pasangan yang berkahwin.


Bersyukur Allah makbulkan doa kami dan beri rezeki ini,” katanya.


Menurut Amyra, sepanjang kehamilan kedua ini, dia tiba-tiba rajin di rumah apabila kerap memasak dan mengemas hingga dimarahi suami.


“Saya pun tak tahu kenapa menjadi terlebih rajin. Setiap hari nak masak saja di dapur dan mengemas rumah hingga Amar tegur jangan terlalu membuat kerja rumah kerana bimbangkan kesihatannya.


“Tambahan pula, keadaan diri kali ini saya kerap sakit kerana doktor memaklumkan kandungan kedua ini sedikit besar dan berat badan saya juga sudah naik sebanyak 53 kilogram,” katanya.


AMYRA terlebih rajin dengan kehamilan kedua ini. FOTO Mustaffa Kamal

Belum menetapkan nama anak perempuannya itu, Amyra berkata, dia dan Amar akan berbincang mengenai nama anak mereka dalam waktu terdekat selain membeli kelengkapan bayi yang bakal lahir itu.


“Disebabkan terpaksa merahsiakan jantina anak daripada pengetahuan Amar, jadi kami tidak berbincang mengenai nama atau membeli pakaian anak.


“Saya cakap dengan Amar baju Anaqi (anak sulung) masih ada lagi dan boleh dipakai membuatkan dia menganggap anak kedua ini masih lagi lelaki.


“Jadi selepas pengumuman ini saya dan Amar akan berbincang mengenai nama anak perempuan kami nanti dan membeli kelengkapan yang penting,” katanya.


Mengharapkan anak keduanya lahir pada 2.2.2020, Amar dan Amyra bagaimanapun berkata, segala kemungkinan boleh berlaku.


“Mengikut jadual doktor memaklumkan saya akan bersalin pada 11 Februari 2020, namun saya dan Amar mengharapkan bayi ini lahir awal pada 2.2.2020 kerana nombornya yang cantik dan unik.


“Kami berserah saja kerana apa yang penting bayi dalam kandungan sihat sempurna dan proses kelahiran berjalan dengan lancar,” katanya.


Terdahulu sempena ulang tahun Amar yang ke-34 Ogos lalu, Amyra membuat kejutan terindah apabila dia mengesahkan hamil anak kedua.


Amar menikahi Amyra pada 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Aqeef Anaqi yang kini berusia dua tahun dua bulan.


Norlida Ishak Shop