Expired : 18.06.18

Harapan Untuk Liridon Krasniqi Menyarung Jersi Kebangsaan Menjadi Kenyataan



KUALA LUMPUR: Selepas gagal mendapatkan khidmat Tan Cheng Hoe sebagai pengarah bola sepak, Perlis terus kempunan apabila terpaksa melupakan hasrat untuk mengikat bekas bintang import Kedah, Liridon Krasniqi pula.


Ia susulan pemain kelahiran Kosovo itu sudah membuat keputusan untuk menyertai pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang lain bagi saingan musim depan.


Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie selepas pihaknya menghubungi Liridon sendiri sebelum ini.


Ahmad Amizal bagaimanapun menjelaskan PFA kini sedang berusaha mencari pemain import lain dengan empat atau lima calon sudah disenarai pendek dan akan ditandatangani sebelum berakhirnya tempoh pendaftaran, 20 Februari ini.


“Bagi pemain import kami memang belum menandatangani mana-mana pemain lagi, maknanya kuota empat import masih kosong dan hasrat untuk dapatkan Liridon bukan spekulasi.


“Kami menghubungi Liridon, malangnya dia sudah menyatakan persetujuan untuk bersama pasukan lain di dalam Malaysia, tapi bukan Perlis. Jadi, kita terpaksa melepaskan hajat untuk mendapatkan khidmat dia.





“Masa semakin terhad untuk memilih import dan kami menggunakan saranan daripada penyokong supaya mengambil pemain import yang pernah bermain di Liga M,” katanya pada sidang media mengumumkan Matt Holland sebagai pengarah bola sepak Perlis di sini, hari ini.


Khabar angin kini bertiup kencang mengatakan Liridon bakal menyertai juara bertahan Piala FA, Pahang yang kini sedang melakukan persiapan pramusim di Thailand.


Apa yang positif mengenai perkembangan itu adalah Liridon kini mempunyai peluang cerah untuk diserap sebagai pemain naturalisasi kedua negara selepas melengkapkan syarat lima tahun beraksi di Liga M.


Dalam perkembangan lain, Ahmad Amizal menjelaskan pengalaman dan kepakaran yang ada pada Holland menjadi antara faktor utama bekas Pengarah Teknikal Buriram United itu menjadi pilihan PFA.


“Selain itu, pengetahuan luas dan hubungan baiknya bersama kelab lain turut menjadi faktor kami memilih dia. Malah, dia pun sudah biasa dengan Malaysia dan kita rasa dia pilihan paling tepat selepas tiga atau empat calon yang kita senarai pendek.


“Holland akan bantu barisan kejurulatihan dalam apa jua bentuk yang diperlukan tapi dia tidak akan masuk campur dalam hal pengurusan pasukan utama, dia akan fokus kepada pembangunan,” katanya.





Post Views: 0

Norlida Ishak Shop