Expired : 18.06.18

Harga petrol, diesel turun mulai tengah malam ini


PUTRAJAYA, 27 Rabiulakhir 1440H, Jumaat – Harga runcit bahan api bagi petrol RON95 serta RON97 akan diturunkan sebanyak 27 sen menjadi RM1.93 dan RM2.23 seliter, manakala harga diesel turun enam sen menjadi RM2.04 seliter mulai jam 12.01 tengah malam ini.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, harga runcit produk petroleum akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM) sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia pada ketika ini.


Katanya, pengumuman harga runcit akan dibuat pada hari Jumaat setiap minggu dan berkuat kuasa mulai Sabtu sehingga Jumaat.


“Perlu ditegaskan bahawa harga baharu ini mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak yang diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu.


“Keputusan pelarasan semula harga runcit produk petroleum ini juga telah pun mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat, termasuk permintaan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM),” katanya.



Guan Eng berkata, kerajaan akan terus komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.


“Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera.


“Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi.


“Kaedah baru ini ialah insiatif Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan yang tidak pernah diamalkan sebelum ini,” katanya.


Katanya, pengekalan harga pada paras ini adalah sehingga pemberian susidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan secara terkawal mengikut harga pasaran.


The post Harga petrol, diesel turun mulai tengah malam ini appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop