Expired : 18.06.18

Hargai keamanan, keselamatan, kemakmuran negara - Agong

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan selamat menyambut Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang akan meraikannya, esok.


Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan menerusi saluran TV1, malam ini, Seri Paduka juga bertitah mengingatkan rakyat Malaysia menghargai keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini.


Seri Paduka juga menyeru seluruh rakyat agar menanam semangat perpaduan yang utuh dan menghindari dari sebarang perkara yang boleh menggugat kemakmuran negara ini.


“Sesuai dengan rakyat di negara ini yang berbilang bangsa dan agama, kedatangan Hari Raya Aidilfitri wajar disambut dengan penuh kegembiraan oleh sekalian rakyat Malaysia.


“Pada hemat Beta, budaya meraikan hari kebesaran agama dan amalan kunjung mengunjungi boleh menjadi jambatan perpaduan yang utuh kepada kita rakyat Malaysia,” titah Seri Paduka.


Sultan Abdullah bertitah bahawa Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong merafak setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmatnya, seluruh umat Islam dapat menyambut Aidilfitri setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan.


Titah Seri Paduka, segala ibadah selama sebulan lepas diharap mampu melahirkan insan bertaqwa yang penuh rasa kehambaan dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT.


Dalam pada itu, Seri Paduka turut menyeru agar rakyat negara ini tidak melupai pengorbanan serta jasa para pendahulu yang telah mewariskan Malaysia yang aman dan makmur untuk dinikmati generasi kini dan akan datang.


Sultan Abdullah turut menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa bertugas pada hari raya khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta anggota agensi kerajaan yang bertugas, demi menjaga keamanan dan kemakmuran negara.


Dalam titah perutusan itu, Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia, yang menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mangkat pada 22 Mei lepas.


“Ingatan serta kasih rakyat Malaysia yang dicurahkan sedikit sebanyak mengubat rasa duka Beta sekeluarga. Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan seluruh rakyat dan negara kita sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT dan terus kekal aman makmur, dijauhi dari sebarang musibah dan bencana.


“Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang Beta kasihi. Maaf zahir dan batin,” titah Seri Paduka.


Norlida Ishak Shop