Expired : 18.06.18

Hari ke-6: Di mana Nora Anne?


Nilai, 8 Zulhijjah 1440H, Jumaat – Selepas 120 jam berlalu, nasib remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang ketika menginap di resort The Dusun, Pantai, di sini, Ahad lepas, masih menjadi tanda tanya.

Memasuki hari keenam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu hari ini, pasukan operasi pencarian dijangka berdepan sedikit cabaran susulan perubahan faktor cuaca yang hujan dalam sehari dua ini.

Pemerhatian Bernama mendapati kawasan lokasi kejadian dan pencarian mangsa pada pagi ini mendung dan diselubungi kabus yang agak tebal.

Pergerakan kenderaan yang masuk ke kawasan ini dari arah Pekan Pantai turut berdepan beberapa halangan kecil akibat pokok tumbang, namun telah dialihkan oleh penduduk tempatan.

Seawal 7 pagi lagi, petugas media tempatan dan antarabangsa sudah pun berkampung di kawasan ini bagi mengikuti perkembangan lanjut operasi itu.

Sementara itu, aset keselamatan yang membawa anggota operasi dilihat bergerak masuk ke kawasan kejadian sejak awal pagi.

Sehingga semalam, kekuatan anggota keselamatan yang terlibat seramai 252 orang membabitkan pelbagai agensi keselamatan seperti polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.

Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tiba bersama keluarganya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di sini.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada 8 pagi Ahad. – Bernama


The post Hari ke-6: Di mana Nora Anne? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop