Expired : 18.06.18

Harimau Malaya ‘Nadia’ positif Covid-19 di New York

Nadia, spesis Harimau Malaya di Zoo Bronx New York disah positif Covid-19. — Foto WCS/Handout melalui Reuters
Nadia, spesis Harimau Malaya di Zoo Bronx New York disah positif Covid-19. — Foto WCS/Handout melalui Reuters

NEW YORK, 6 April — Seekor Harimau Malaya di Zoo Bronx disah positif Covid-19, kes pertama melibatkan manusia menjangkiti seekor haiwan dan menyebabkannya mengalami masalah pernafasan, kata ketua veterinar di situ.

Nadia, harimau berusia empat tahun menjalani pemeriksaan Covid-19 selepas mengalami batuk kering dengan tiga lagi harimau dan tiga ekor singa.


Namun Persatuan Perlindungan Hidupan Liar dalam kenyataan berkata semua haiwan itu dijangka pulih, lapor Reuters.


Sebelum ini Covid-19 dipercayai disebarkan daripada haiwan kepada manusia, dan banyak haiwan diuji positif di Hong Kong.


Namun berbeza dengan kes Nadia yang dipercayai jatuh sakit selepas terdedah dengan pekerja zoo yang menunjukkan tanda mengalami pandemik itu.


Ketua Veterinar Zoo Bronx, Paul Calle bagaimanapun berkata pihaknya tidak dapat mengesan individu yang menyebabkan jangkitan kepada harimau itu.


Walaupun harimau dan singa lain mengalami simptom sama, Calle berkata zoo hanya menjalankan ujian terhadap Nadia kerana haiwan karnivor itu paling sakit dan mula hilang selera makan, dan mereka juga enggan menyuntik ubat tidur kepada semua spesis kucing.


Nadia menjalani ujian sinar X, ultra bunyi dan darah sebelum menjalani saringan Covid-19, memandangkan jumlah kes yang meningkat di New York dan menjadi pusat penyebaran pandemik di Amerika Syarikat.


Zoo Bronx ditutup sejak pertengahan Mac lalu dan Nadia mula menunjukkan simptom pada 27 Mac, menurut Makmal Perkhidmatan Veterinar Jabatan Agrikultur Negara yang menjalankan ujian itu.