v Harta RM70 bilion tergantung
Expired : 18.06.18

Harta RM70 bilion tergantung

BERGADUH sesama waris, kurang kesedaran dan sikap ambil mudah menjadi faktor hampir RM70 bilion nilai harta pusaka dengan majoritinya milik orang Melayu di negara ini tidak dituntut sejak merdeka hingga kini.

Nilai wang yang sangat besar tertanam begitu saja. Jika dicairkan ia memberi lebih manfaat kepada waris dan secara tidak langsung memajukan ekonomi orang Melayu.

Malah, jumlah itu dijangka terus bertambah dari setahun ke setahun selagi ia tidak dituntut.

Semua rekod harta berkenaan disimpan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) melalui Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP) di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Selain itu, agensi lain yang menguruskan permohonan pembahagian harta pusaka adalah Mahkamah Tinggi dan Amanah Raya Berhad.

Menurut sumber, hampir 75 peratus pembahagian harta pusaka di negara ini diuruskan JKPTG yang ada 36 Unit Pembahagian Pusaka di seluruh negara.

Namun, kebanyakan kes gagal diselesaikan atas faktor sikap waris yang tidak mahu ambil tahu.

“Ada juga waris menganggap proses memohon pembahagian harta pusaka memakan masa, kos guaman mahal dan menyusahkan menyebabkan harta si mati dibekukan, tanah menjadi terbiar dan tidak terurus serta paling mustahak status pemilikan tidak rasmi boleh mengakibatkan isu termakan harta yang bukan hak atau harta anak yatim,” katanya.

Sementara itu, Perunding Harta Pusaka, Prof Madya Azizi Zakaria berkata, kekurangan maklumat menyebabkan pembahagian harta pusaka tidak teratur sehingga menimbulkan perbalahan dalam kalangan ahli keluarga.

Menurutnya, harta pusaka perlu ditadbir dengan baik supaya pihak yang layak mendapat hak seperti yang ditentukan dalam hukum faraid.

“Waris bukan sahaja kurang kesedaran, malah pemilik harta juga tidak membuat surat wasiat lebih awal untuk menentukan siapa pentadbir dan penerima harta apabila mereka meninggal dunia nanti.

“Apabila pemilik meninggal dunia, timbul masalah jika pewaris mengambil mudah pengurusan harta pusaka sehingga ada yang tidak dituntut,” katanya.

Berdasarkan maklumat diperoleh, Azizi berkata, kurang daripada lima peratus umat Islam yang menyiapkan surat wasiat atau dokumen bertulis sebelum kematian.

Katanya, ada harta pusaka seperti rumah dan tanah terbiar apabila waris tidak mengambil endah disebabkan khuatir melalui pelbagai lapisan proses undang-undang sebelum harta sah milik mereka.

“Perlu ada lebih kesedaran supaya harta pusaka terurus dan mereka yang layak menerima mendapat bahagian seperti ditetapkan selain waris dapat meneruskan kelangsungan hidup.

“Ada banyak syarikat perunding harta pusaka yang menawarkan perkhidmatan dan pengurusan harta pusaka supaya lebih terancang dan diuruskan dengan baik,” katanya.